X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki ditahan ugut bunuh eksekutif

Telefon bimbit yang dirampas daripada suspek yang disyaki membuat ugutan bunuh terhadap seorang wanita pada Sabtu. Gambar kecil: Nik Ezanee
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membuat ugutan bunuh terhadap seorang wanita yang bekerja sebagai eksekutif syarikat swasta untuk mendapatkan wang bernilai RM10,000 pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa berusia 32 tahun itu mendakwa menerima mesej pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada nombor tidak dikenali yang memintanya memasukkan wang tersebut ke dalam satu akaun bank tempatan pada Rabu lalu.

"Suspek turut mengugut sekiranya mangsa enggan mengikuti arahan tersebut, mangsa akan dibunuh," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Nik Ezanee berkata, berdasarkan risikan yang dijalankan, polis dapati suspek berusia 29 tahun itu berada di Langkawi, Kedah.

"Kita berjaya memberkas suspek pada jam 2 petang di Pantai Chenang.

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas empat buah telefon bimbit pelbagai jenama dan sekeping kad bank tempatan milik suspek.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan, suspek tidak mengaku melakukan jenayah pemerasan itu dan mendakwa telefon bimbitnya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman tiga hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

"Sejak Januari tahun lalu, kita telah menerima sebanyak 35 laporan melibatkan kejadian pemerasan di kawasan Damansara, Kota Damansara dan Sungai Way," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!