Banjir: Tiada jangkitan Covid-19 di PPS setakat ini

Ismail Sabri (dua dari kiri) bertanya khabar mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Chukai, Kemaman pada Ahad.
Ismail Sabri (dua dari kiri) bertanya khabar mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Chukai, Kemaman pada Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Tiada kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya mengharapkan rekod baik itu kekal sehingga musim tengkujuh berlalu.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan dan laporan yang diterima, majoriti mangsa banjir yang ditempatkan di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya percaya kalau semua patuh kepada SOP yang dikeluarkan, insya-ALLAH kita boleh elakkan jangkitan di PPS.

"Saya tengok daripada segi kawalan kemasukan ke PPS, mereka (mangsa banjir) perlu mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual, selain memakai pelitup muka.

"Cuma yang saya bimbangkan daripada segi penjarakan. Mungkin agak sukar sikit kalau terlampau ramai, jadi saya haraplah supaya semua pihak menjaga penjarakan fizikal.

"Di beberapa tempat yang saya pergi, memang tidak ada gotong-royong memasak dan semua makanan adalah berbungkus. Itu antara SOP yang telah pun ditetapkan dan setakat ini, saya lihat PPS yang dibuka patuh kepada SOP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berterima kasih kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu dalam menyelamatkan mangsa banjir dan memberikan pelbagai bantuan.

Bagaimanapun, beliau meminta agar NGO yang terlibat untuk menghubungi Pusat Pengurusan Bencana Banjir Daerah supaya segala bantuan dapat diselaraskan.

"Ia bagi memudahkan kita mengetahui nama mereka yang terlibat untuk penghantaran barangan, supaya kalau ada berlaku apa-apa, kita boleh kesan siapa dan di mana mereka.

"Selain itu, kita dapat tahu ke mana barang itu patut dihantar sebab mungkin ada tempat yang sudah terima banyak barang dan ada tempat yang tidak mencukupi.

"Bagi individu atau NGO yang datang dari zon merah yang nak datang ke kawasan hijau, elok buat 'swab test' terlebih dahulu kerana bimbang membawa jangkitan," katanya.