'UMNO tak paksa PRU15 diadakan sekarang'

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO tidak memaksa atau memberi tekanan kepada kerajaan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO bertindak rasional dan hanya mahukan PRU15 selepas angka Covid-19 rendah dan terkawal serta banjir juga selesai.

"Biarlah kita bercakap secara rasional, bukan bercakap kerana politik. Pada saya dalam keadaan sekarang ini di mana Covid-19 berada pada tahap kritikal, tidak sesuai. Kita minta diadakan PRU15 lepas (statistik) Covid-19 berada pada tahap rendah, itu maksudnya.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO desak segerakan PRU15

UMNO berdepan protes rakyat jika terus desak PRU15

Bersatu tidak akan tunggu UMNO untuk hadapi PRU15

"Kita tidak menekan untuk mengadakan PRU15 pada waktu ini dengan banjir yang sedang melanda di Johor dan Pahang selain juga di Terengganu dan Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas diberikan taklimat dan melawat Stesen Pencawang Masuk Utama Dasar Laut Senibong di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada Rabu, antaranya menggesa PRU15 diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Pelbagai pihak membantah gesaan tersebut antaranya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang berpendapat, PRU15 akan mencetuskan gelombang keempat Covid-19 dan dibimbangi situasi akan menjadi tidak terkawal.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, rakyat juga mahu melihat ahli politik atau pemimpin menyelesaikan isu Covid-19 dan selepas itu baharu diadakan PRU15.

Katanya, cadangan untuk diadakan PRU15 datang daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana merasakan jumlah ahli Parlimen antara kerajaan dan pembangkang sangat tipis.