KPDNHEP Selangor pantau bekalan keperluan, aktiviti perniagaan

Anggota Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Selangor menjalankan pemeriksaan di beberapa buah premis perniagaan di negeri ini.
Anggota Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Selangor menjalankan pemeriksaan di beberapa buah premis perniagaan di negeri ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor membuat pemeriksaan ke atas 431 premis terdiri daripada peruncit, pemborong dan pengilang bagi memantau situasi bekalan barangan susulan penularan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemantauan dijalankan berikutan tular di media sosial mengenai kerajaan akan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di enam buah negeri zon merah menimbulkan banyak komen panik oleh nitizen.

"KPDNHEP Selangor melaksanakan pemeriksaan serta pemantauan khas terhadap bekalan barangan keperluan dan keadaan aktiviti perniagaan di negeri ini dengan menggerakkan anggota penguat kuasa sertaai pemantau harga ke seluruh sembilan daerah di negeri ini.

"Pemantauan barangan keperluan ini membabitkan 280 peruncit terpilih daerah (DDR), 119 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 32 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) di seluruh negeri ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, pemeriksaan dan tinjauan itu melibatkan seramai 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga.

"Operasi ini dijalankan bagi melihat dan meninjau samada berlakunya pembelian panik ekoran situasi semasa serta bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah sentiasa mencukupi sepanjang tempoh PKPB ini.

"KPDNHEP Selangor mengambil maklum mengenai situasi pembelian panik yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di negeri ini, bagaimanapun, kita dapati ia adalah terkawal," katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa dan ini telah menyumbang kepada kestabilan dan keberadaan barangan keperluan di dalam pasaran.

"Keadaan ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020 di mana kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran," katanya.

Menurut beliau lagi, KPDNHEP Selangor sentiasa memantau secara harian barangan keperluan pengguna di seluruh negara bagi memastikan barangan-barangan ini sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran, sekali gus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan.

"Antara barangan yang dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.

"Para pengguna dinasihatkan untuk mengelakkan melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran," katanya.