Kontraktor cemas pacuan empat roda ditembak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BESUT - Seorang kontraktor berdepan detik cemas apabila kenderaannya ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di Jerteh, di sini pada awal pagi Ahad.

Kejadian disedari mangsa berusia 34 tahun apabila dia terdengar bunyi letupan sebelum penggera kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang diparkir di hadapan rumahnya berbunyi kira-kira jam 5.45 pagi.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut terus keluar dari rumahnya untuk melihat apa yang berlaku sebelum terhidu bau minyak petrol yang kuat di luar rumahnya.

"Mangsa terus mencari dari mana punca bau minyak petrol itu lalu dengan melakukan pemeriksaan di kawasan rumahnya. Dia kemudian ternampak ada kesan tembakan di cermin depan, bonet dan bumbung kenderaannya.

"Mangsa yang yakin rumahnya diserang individu tidak dikenali terus membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri serta keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan bukan di padang sasar.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: