Lelaki maut kemalangan membabitkan tiga kenderaan

Mangsa dilaporkan tersepit dan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Salak/Sepang di Sepang pada Ahad.
FOTO: Ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Sepang
Mangsa dilaporkan tersepit dan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Salak/Sepang di Sepang pada Ahad. FOTO: Ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Sepang
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya terlibat kemalangan dengan dua buah kenderaan lain di Jalan Salak/Sepang di sini Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kancil cedera parah pada badan serta kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kemalangan itu turut melibatkan dua buah kenderaan lain iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) jenis Toyota Hilux dan juga sebuah motosikal jenis Yamaha," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Md Noor Aehwan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Sepang menghala ke Salak.

"Pemandu kenderaan pacuan empat roda dan penunggang motosikal itu pula masing-masing dari arah Salak menghala ke Sepang.

“Setibanya di lokasi kejadian, salah sebuah kenderaan iaitu antara kenderaan mangsa dan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki telah termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung," katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal dari arah Salak tidak sempat mengelak kenderaan mangsa yang telah melintang di laluannya.

“Penunggang motosikal itu terlanggar bahagian belakang kenderaan mangsa sebelum terbabas ke bahu jalan arah bertentangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, akibat daripada kemalangan itu, pemandu Perodua Kancil telah tersepit di dalam kenderaannya dan cedera parah.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami cedera ringan pada tangan sebelah kiri sementara penunggang motosikal pula patah tangan kiri," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

"Kesemua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.