Kerajaan sedia pinda Akta 355: Zulkifli

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sedang melakukan imbasan kod QR sebelum masuk ke Bilik Gerakan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu untuk menghadiri program taklimat pada Ahad.
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sedang melakukan imbasan kod QR sebelum masuk ke Bilik Gerakan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu untuk menghadiri program taklimat pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan sedang perhalusi untuk membuat beberapa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) mengikut keadaan semasa sebagai langkah dan komitmen negara bagi memperkasakan Mahkamah Syariah secara komprehensif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beberapa proses penting perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dibentangkan mengikut tertib dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan akur bidang kuasa mahkamah berkenaan hari ini terbatas dengan peruntukan mengikut Akta 355 dan had hukuman diperuntukkan kadangkala dilihat tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.

"Kini, kita dalam usaha penambahbaikan dan memang memfokuskan lebih kepada menaikkan kadar hukuman sedia ada dengan melihat situasi semasa hari ini.

"Sebenarnya beberapa pindaan sudahpun dibuat tetapi kita terpaksa menangguhkan seketika melihat waktu bersesuaian untuk dibentangkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama hakim, pegawai dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya memberi jaminan akan menggunakan sistem QR Code pada produk import dan apa sahaja yang berkait untuk mengesan produk halal terutama produk import sebelum hujung bulan ini.

"Pihak kami sedang dalam proses meneliti proposal yang diserahkan berkaitan sistem ini. Insya-ALLAH sebelum akhir bulan ini, kami akan cuba laksanakan beberapa hal berkaitan dengan halal menggunakan sistem ini.

Artikel Berkaitan:

"Hasil perbincangan yang dilakukan hampir setiap minggu dengan pihak berkaitan mengenai sistem ini, kami yakin penggunaan sistem QR Code pada produk import boleh menjamin keselamatan dan mengelak masalah seperti kartel daging haram berulang," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menggunakan sistem QR Code pada produk import di semua pintu masuk negara bagi mengesan daging tidak halal.