Zafrul beri gambaran salah mengenai pelaburan asing: Najib

NAJIB
NAJIB
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dikritik pelabur asing dan warganet apabila mengeluarkan kenyataan yang memberi gambaran pelaburan dalam negara kekal tinggi pada tahun 2020 dengan angka melebihi RM100 bilion.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelabur asing dan warga net menyifatkan Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu sebagai tidak jujur dan memberi gambaran yang salah berhubung pelaburan asing.

Menurut Najib, ramai yang tidak senang dengan sikap ‘syok sendiri’ itu kerana realitinya pelaburan asing dalam negara mengalami penurunan teruk setiap tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jika tak percaya, cuba fikir balik apa pelaburan asing signifikan yang pernah diumumkan kerajaan PH dan PN sejak tiga tahun dahulu?.

“Pelaburan asing pada tahun lepas (setakat suku ketiga) adalah amat buruk sekali dan sebenarnya menjadi negatif pada suku ketiga apabila beberapa pelaburan asing sedia ada di Malaysia berpindah ke negara jiran,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Najib turut mempersoalkan bagaimana pelaburan asing di negara jiran mampu melonjak naik berbanding Malaysia.

“Saya faham pelaburan asing di Malaysia tahun lepas mungkin terjejas akibat Covid-19 tapi ramai juga yang tertanya-tanya kenapa pelaburan asing di negara-negara jiran mencanak naik pula?" soalnya.

Pada Sabtu, Tengku Zafrul menulis cacatan di laman sosial Linkedin mengenai pelaburan asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) Malaysia berjumlah RM109.8 bilion melibatkan hampir 3,000 projek dalam pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama untuk sembilan bulan pertama tahun 2020.⠀

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kenyataan itu mendapat kritikan pelabur asing; antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Eropah, Sven Schneider dan Christian Angell Isaksen dari Collectr Sdn Bhd.

"Minta maaf kerana saya buat komen ini tetapi mewakili komuniti pelabur asing yang cukup besar iaitu EU, kami saat ini menerima banyak kebimbangan mengenai sama ada Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang wajar.

"Sehingga hari ini, Yang Berhormat Menteri bahkan tidak dapat bertemu dengan kami dan mendengar keprihatinan syarikat-syarikat kami. Tanpa input ini, kementerian anda pasti tidak dapat mengatasi masalah di lapangan," kata Schneider.