Hanya tahu Ahmad Jazlan tarik sokongan menerusi media

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan keperluan asas mangsa banjir kepada Akhbar Salim (dua dari kanan) yang mewakili pemimpin tempatan di Dewan Hamid Bidin Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan keperluan asas mangsa banjir kepada Akhbar Salim (dua dari kanan) yang mewakili pemimpin tempatan di Dewan Hamid Bidin Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan beliau hanya mengetahui tindakan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi media.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak mengetahui lanjut sama ada tindakan Pengerusi UMNO Kelantan itu sudah dibincangkan di peringkat perhubungan negeri dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, perkara tersebut yang sudah tentunya membabitkan parti akan dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi dan tidak boleh mengambil kira pandangan peribadi beliau.

“Saya tidak tahu dia (nak tarik sokongan), saya hanya baca melalui media, saya tidak tahu sama ada dibincangkan dalam Perhubungan Negeri Kelantan dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Jazlan tarik sokongan kepada kerajaan PN

Ahmad Jazlan letak jawatan Pengerusi MPOB

UMNO Kelantan sokong tindakan Ahmad Jazlan

“Jadi kita tidak tahu. Jadi sebab itu apa yang saya kata tadi, apa sahaja berlaku melibatkan parti, kepemimpinan tertinggi akan berbincang.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak boleh berikan pendirian peribadi. Kalau saya bagi pandangan peribadi ia akan jadi pandangan saya bukan parti,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) menyempurnakan majlis penyerahan barang bantuan kepada mangsa banjir negeri Kelantan di Kem Pengkalan Chepa pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima 8 Briged, Zamsari Abu Hasan dan wakil pemimpin tempatan, Akbar Salim.

Pada Sabtu, Ahmad Jazlan mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk kekecewaan rakyat.

Ahmad Jazlan bersama 12 bahagian UMNO empat peringkat di Kelantan membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan kepemimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diumumkan di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan.