Scam poligami: Jangan guna jalan mudah hendak bernikah

Fadzil Awang
Fadzil Awang
A
A
A

ALOR SETAR - Mana-mana pasangan termasuklah di Kedah yang ingin berpoligami dinasihatkan tidak mengambil jalan mudah untuk melangsungkan pernikahan mereka menggunakan scam poligami.

Mufti Negeri Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, pihaknya mendapati timbul isu baharu sejak akhir-akhir ini, iaitu scam poligami khususnya melibatkan sindiket poligami dalam pasangan tertentu.

Fadzil berkata, pasangan ingin berpoligami yang tidak dapat melangsungkan pernikahan mereka atas sebab-sebab tertentu tidak seharusnya menggunakan kaedah berkenaan semata-mata untuk merealisasikan hasrat mereka.

"Jadi, kita nasihatkan pasangan yang ingin berkahwin lagi ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan oleh Bahagian Nikah Cerai Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kes scam poligami babit suami umur 40 tahun ke atas

SPRM perlu segerakan siasatan scam poligami

Suami boleh berpoligami walau isteri tak setuju

"Apabila mereka mengikut prosedur nikah yang ditetapkan, ia akan memberi kemudahan kepada pasangan terbabit di kemudian hari," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai scam poligami didedahkan Sinar Harian baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pasangan berpoligami yang mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pihak berwajib tidak akan menerima kesan akibat penipuan perkahwinan berkenaan.

"Jika ikut prosedur, mereka akan mendapat kemudahan misalnya apabila anak dilahirkan maka bayi berkenaan dapat didaftarkan secara sah dan antara lain, dari segi pendidikan dan apa-apa yang layak lebih senang diperoleh," katanya.

Fadzil mengingatkan bahawa perkahwinan poligami secara melalui scam ataupun sindiket poligami memiliki unsur penipuan yang akan menyukarkan ataupun memudaratkan pasangan terbabit.

"Scam poligami tidak ikut prosedur-prosedur sepatutnya, jadi ia akan memberi kesukaran terutamanya keluarga dan anak mereka sendiri. Jika betul-betul mahu berkahwin lagi ikutlah laluan yang betul," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian membongkar kewujudan scam poligami melibatkan individu tertentu yang licik menyalahgunakan kuasa dan prosedur permohonan sehingga mampu memperdayakan mahkamah.