Penunggang motosikal maut digilis lori

Seorang penunggang motosikal maut digilis lori selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lorong Melati, Kuang, Sungai Buloh menghala ke Kuang pada Jumaat.
Seorang penunggang motosikal maut digilis lori selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lorong Melati, Kuang, Sungai Buloh menghala ke Kuang pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang penunggang motosikal maut digilis lori selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lorong Melati, Kuang, Sungai Buloh menghala ke Kuang pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, mangsa yang merupakan jurutera elektrik disahkan maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah.

"Ketika kejadian kira-kira jam 1.13 tengah hari itu, mangsa berumur 26 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah lori 'tipper' yang mengalami kegagalan brek.

"Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dan terperosok di bahagian bawah tayar hadapan kiri lori," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa turut diseret kira-kira empat meter dan dalam masa sama, lori berkenaan turut melanggar belakang sebuah kereta Perodua Kancil.

"Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit juga menggelongsor ke hadapan dan merempuh belakang sebuah lori 'bonded'. Lori 'bonded' tersebut melanggar pula belakang sebuah kereta Perodua Kenari seterusnya belakang sebuah kereta Toyota Vios," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, lokasi kemalangan adalah laluan lurus dua hala menuruni bukit yang sesak dengan kenderaan.

"Mangsa maut di tempat kejadian, sementara pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa. Sebuah kren juga terpaksa digunakan untuk membantu dalam operasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.