Isu beli Mercedes baharu, Kon Yeow minta maaf

Laporan Sinar Harian pada Khamis lalu mengenai pembelian kereta rasmi baharu Ketua Menteri.
Laporan Sinar Harian pada Khamis lalu mengenai pembelian kereta rasmi baharu Ketua Menteri.
A
A
A

GEORGETOWN- Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meminta maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan pembelian kereta rasmi baharunya yang dilihat dibuat pada waktu yang kurang sesuai.

Tambahnya, beliau mengambil tanggungjawab dalam pembelian yang disifatkan 'tidak kena pada masa' oleh sesetengah pihak susulan negara berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

Kon Yeow berkata, pihaknya akan lebih berhati-hati dalam membuat pertimbangan dalam pembelian khususnya ketika rakyat berhadapan dengan waktu sukar seperti ketika ini.

Beliau turut mengakui perkara tersebut adalah satu pengajaran kepada beliau dan kerajaan negeri susulan tindakan pembelian itu menyebabkan rakyat risau dan tersinggung.

"Saya memerhati isu ini kerana ada pandangan yang menyatakan ia dilakukan pada masa yang tidak sesuai kerana rakyat sedang berhadapan dengan Covid-19. Saya mengambil maklum semua pandangan ini.

"Bagaimanapun, proses pembelian kereta itu dibuat melalui pentadbiran sewajarnya. Namun sebagai ketua menteri, jika ada yang tersinggung dan berpendapat pembelian itu boleh ditunda, saya memikul tanggungjawab itu," katanya kepada pemberita di Majlis Sumbangan Beg Penyayang One Hope Charity di Pusat Khidmat Dun Padang Kota, di sini pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN Ketua Menteri Pulau Pinang tukar kereta baharu

Menjawab soalan pemberita berhubung kerisauan beberapa pihak kononnya kerajaan negeri menggunakan wang rakyat untuk membeli kereta berharga ratusan ribu itu, Kon Yeow berkata, perkara itu tidak benar susulan pihaknya sudah bersedia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

"Itu jauh sekali (menggunakan wang rakyat untuk membeli kereta rasmi baharu). Sebelum isu ini dicetuskan, saya sudah arahkan Exco dan Pegawai Kewangan Pulau Pinang bersiap sedia dalam menyediakan pakej bantuan jika kerajaan mengumumkan PKP semula.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah pengajaran buat saya dan kerajaan negeri. Walaupun ada keperluan untuk menukar (kereta rasmi), namun masanya kurang tepat memandang rakyat amat risau dengan pembelian ini," katanya.

Terdahulu, Parti Gerakan Rakyat Pulau Pinang meminta kerajaan negeri agar tidak boros ketika berbelanja terutamanya dalam perkara yang tidak begitu penting seperti menukar kereta rasmi Ketua Menteri yang baharu.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pembelian kereta baharu model Mercedes S560e dengan harga RM460,000 itu sepatutnya dijimatkan untuk membantu rakyat di negeri ini agar lebih ramai mendapat bantuan terutamanya ketika penularan Covid-19.

Pulau Pinang sebelum ini membeli sebuah kereta baharu model Mercedes S560e sebagai kereta rasmi ketua menteri bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Pembelian Mercedes S560e adalah sebagai menggantikan kereta rasmi sedia ada, Mercedes S300L yang dibeli dengan harga RM298,263.75 pada 2013.

Pembelian kereta itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 29 November tahun lalu.

Keputusan itu dibuat untuk menggantikan kereta lama dalam mengurangkan kos penyelenggaraan selain faktor keselamatan.

Kereta model berwarna kelabu selenite yang dikeluarkan pada 2019 itu dibeli dengan harga RM458,122 iaitu dengan potongan harga sebanyak RM127,765 yang mana, MMK telah bersetuju dengan pembelian kereta baharu itu pada 29 November 2019.