Pahang peruntuk RM11 juta untuk mangsa banjir

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM8 juta untuk menyediakan keperluan harian kepada mangsa banjir terutama yang ditempatkan di Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri itu.

Peruntukan tambahan yang diluluskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Jumaat itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tujuan tersebut sebanyak RM11 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tambahan yang disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri itu adalah untuk kebajikan mangsa banjir di seluruh Pahang.

Menurutnya, sehingga kini, JKM sendiri membelanjakan kira-kira RM3.4 juta.

"Daripada jumlah yang dibelanjakan pihak JKM itu, kira-kira RM2.9 juta digunakan untuk pembelian barangan keperluan harian mangsa banjir di PPS.

"Selain itu, RM434,000 bagi perbelanjaan untuk keperluan harian mangsa banjir di kawasan terputus hubungan, RM19,748 diagihkan ke Pejabat-pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) dan kira-kira RM16,900 ke Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB),"katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, peruntukan keseluruhan RM11 juta bagi tahun 2021 ini adalah yang kedua tertinggi sejak bencana banjir besar tahun 2014/2015 membabitkan kira-kira 100,000 mangsa melibatkan peruntukan kira-kira RM57 juta.

"Pada 2016, kerajaan negeri memperuntukan RM16,493 bagi tujuan itu manakala pada tahun 2017 jumlahnya meningkat kepada kira-kira RM1.9 juta. Seterusnya RM1.9 diperuntukkan untuk tahun 2018 dan RM46,200 untuk 2019," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, jumlah peruntukan yang berbeza itu bergantung kepada keperluan dan tahap seriusnya bencana banjir yang dialami pada tahun-tahun berkenaan.

"Berdasarkan laporan JKM Negeri, daripada 425 PPS yang telah dibuka, sebanyak 145 buah telah ditutup manakala 280 buah masih aktif menempatkan 26,091 mangsa daripada 7,256 keluarga sehingga malam pada Sabtu.

"Justeru saya mengingatkan mangsa-mangsa banjir, petugas dan sukarelawan sama ada di PPS mahupun di lapangan, agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri terutama dalam aspek mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19," katanya.

Sehingga jam 11 pagi pada Ahad, seramai 26,242 mangsa banjir daripada 7,076 keluarga masih berada di 268 PPS seluruh daerah yang terjejas.