Pelaksanaan e-undi perlu kajian mendalam, kata Pas

Wartawan bergambar bersama Abdul Hadi selepas berakhir sidang media.
Wartawan bergambar bersama Abdul Hadi selepas berakhir sidang media.
A
A
A
MARANG - Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan kaedah pengundian secara elektronik (e-undi) perlu dikaji secara terperinci dan mendalam sebelum dilaksanakan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata, Malaysia mempunyai geografi penempatan yang pelbagai termasuk kawasan Felda, pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

Sehubungan itu, cadangan tersebut memerlukan kajian sebelum dilaksanakan sebelum terburu-buru bagi mengelak timbul masalah di kemudian hari.

“Kita kena lihat kemunasabahan sebab negara kita ini ada kawasan yang ada kemudahan, ada yang tidak ada kemudahan seperti di (kawasan) pedalaman.

“Kalau negara lain, lebih bergantung kepada kawasan bandar dan pinggir bandar. Kita di Malaysia ada kawasan Felda, pedalaman, Orang Asli, semua ada” katanya ditemui di rumahnya di Rusila, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi akan mendapatkan penjelasan lebih terperinci daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Pas Pusat mengenai perkara itu.

“Setakat ini saya belum dapat penjelasan terperinci lagi mengenai cadangan ini. Saya tunggu laporan dulu,” katanya mengulas mengenai SPR yang mempertimbangkan pelaksanaan kaedah e-undi.

SPR sebelum ini menyifatkan pelaksanaan kaedah e-undi adalah lebih selamat dan menjimatkan kos, sebagai sebahagian daripada reformasi sistem pilihan raya negara.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang dipetik berkata, pihaknya sudah melakukan pencarian fakta serta berbincang dengan beberapa pihak, termasuk pegawai dari negara sudah melaksanakan kaedah e-undi dan pengundian internet.

Artikel Berkaitan:

Kajian SRP mendapati kaedah berkenaan yang digunakan di Russia, Korea Selatan, India dan Congo, juga dapat menjimatkan banyak masa serta meminimumkan jumlah kakitangan diperlukan.