'Banjir terburuk, semua barang rosak'

Sukarelawan GPMS membantu membersihkan peralatan rumah mangsa banjir di sekitar Chikus fasa kedua pada Sabtu.
Sukarelawan GPMS membantu membersihkan peralatan rumah mangsa banjir di sekitar Chikus fasa kedua pada Sabtu.
A
A
A

TELUK INTAN - Kejadian banjir yang menimpa penduduk sekitar Chikus meninggalkan kesan mendalam kepada mereka kerana lebih 30 tahun tidak pernah berlaku bencana seteruk itu.

Seorang penduduk, Ahmad Jamhari Zainal Abidin, 39, dari Kampung Belt berkata, rumahnya antara yang paling teruk terjejas kerana terletak berhampiran Sungai Batang Padang.

Katanya, banjir tersebut menyebabkan hampir keseluruhan peralatan rumah dan pakaian ahli keluarga rosak kerana ditenggelami air.

"Ini merupakan banjir terburuk sejak lebih 30 tahun kerana sejak kecil saya tinggal di sini tidak berlaku banjir seperti ini. Ketika banjir itu, saya cuma sempat selamatkan motosikal dan kereta manakala yang lain semua tenggelam.

"Apa pun kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana semua ahli keluarga kami selamat. Terima kasih kepada sukarelawan yang membantu kami," katanya.

Turut mengalami kerosakan teruk akibat banjir tersebut, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Jamiatul Banat dan Banin, Parit 8 Chikus apabila sebahagian besar peralatan sekolah ditenggelami air.

Guru Besar sekolah berkenaan, Badi'ah Mat Isa berkata, kesemua bilik dimasuki air menyebabkan perabot dan keperluan mengajar yang lain rosak akibat banjir.

"Semua barang yang ada di dalam sekolah rosak sebab tak sempat kami nak selamatkan kerana air naik terlalu pantas. Buku-buku sekolah murid untuk pendaftaran minggu depan juga habis semua rosak.

Artikel Berkaitan:

Perabot dan peralatan SRAR Jamiatul Banat dan Banin, Parit 8 Chikus rosak ditenggelami air banjir yang berlaku pada 5 Januari lalu.
Perabot dan peralatan SRAR Jamiatul Banat dan Banin, Parit 8 Chikus rosak ditenggelami air banjir yang berlaku pada 5 Januari lalu.

"Barang-barang lain seperti laptop, printer dan peralatan lain juga habis tenggelam. Memang tak sangka boleh banjir seteruk ini," katanya ketika ditemui membersihkan bangunan sekolah bersama pasukan sukarelawan.

Sementara itu, seramai lebih 80 sukarelawan belia di negeri ini khususnya di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk turun padang membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Chikus, di sini pada Sabtu.

Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Cawangan Teluk Intan, Aimy Nabilla Mohamad Yusof berkata, kebanyakan sukarelawan terlibat terdiri daripada mahasiswa pelbagai institusi yang berada di sekitar Hilir Perak.

Katanya, antara aktiviti dilaksanakan adalah membersihkan rumah penduduk, mencuci dewan, sekolah agama rakyat dan pelbagai lagi.

"Kita mulakan misi bantuan pasca banjir ini sejak Rabu lagi dan ini merupakan fasa kedua yang kita turun membantu penduduk.

"Alhamdulillah, komitmen ditunjukkan sukarelawan ini sangat tinggi dan kita bersedia jika khidmat kami ini diperlukan sekali lagi untuk membantu mereka yang terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Mohd Soufi Mohd Ibrahim berkata, gerak kerja sukarelawan belia tersebut dibantu Pejabat Belia dan Sukan Daerah Hilir Perak.

Menurutnya, selain persatuan belia, turut sama membantu mangsa banjir itu juga adalah persatuan-persatuan sukan yang ada di daerah Hilir Perak.

"Selain tenaga sukarelawan, kita juga turut membuat kutipan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk diagihkan kepada mangsa banjir terlibat.

"Kita tidak akan berhenti setakat ini kerana kita mempunyai rangka kerja yang bukan sahaja bencana banjir tetapi aktiviti lain yang memerlukan sukarelawan. Kita sentiasa bersedia," katanya ketika ditemui di Pejabat Penghulu Mukim Sungai Manik, di sini pada Sabtu.