IPD Kemaman buka PPS untuk pegawai, anggota

Hanyan beramah mesra dengan anak-anak kakitangan polis yang berada di PPS IPD Kemaman pada Ahad.
Hanyan beramah mesra dengan anak-anak kakitangan polis yang berada di PPS IPD Kemaman pada Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menjadi satu-satunya IPD di negara ini yang membuka pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 84 pegawai dan anggotanya serta keluarga mereka yang terjejas akibat banjir.

PPS itu dibuka sejak Ahad lalu susulan banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu termasuk di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebanyak 23 keluarga ditempatkan di PPS itu termasuk sebilangan kakitangan awam.

"Dalam banjir kali ini, ada sebahagian kakitangan kita yang turut terjejas. Saya rasa, ini PPS pertama yang dibuka di dalam IPD kerana ia adalah tempat yang selamat dan berdekatan dengan IPD.

"Ia secara tidak langsung memudahkan mereka bertugas. Kita dapat kumpulkan tenaga dan kekuatan dengan cepat untuk tugas-tugas menyelamat dan menjaga keselamatan.

"Alhamdulillah, kuarters kita selamat dan tidak dilimpahi air. Mereka yang ditempatkan di PPS ini iadalah mereka yang menetap di rumah sendiri atau menyewa di taman-taman perumahan awam yang terjejas dengan banjir," katanya ketika ditemui di PPS IPD Kemaman di sini Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Hanyan mengingatkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada luar daerah Kemaman khasnya daripada zon merah supaya melaporkan diri ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk tujuan pengesahan.

"Selain itu, mereka diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang kita khuatir ialah mungkin ada yang datang daripada zon-zon merah, tanpa mereka sedari mereka adalah pembawa Covid-19," katanya.