X

Kindly register in order to view this article
!

Banci fasa 2 pada 20 Januari

MOHD UZIR
A
A

PUTRAJAYA - Dianggarkan seramai 24.1 juta penduduk Malaysia akan dibanci dalam Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa kedua secara bersemuka bermula 20 Januari sehingga 6 Februari depan.

Ketua Perangkawan Malaysia yang merupakan Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut adalah baki daripada anggaran seramai 32.7 juta penduduk.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah merekodkan seramai 8.6 juta penduduk yang selesai dibanci pada fasa pertama menerusi e-Census sejak 7 Julai 2020.

“Pelaksanaan banci secara bersemuka telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata, Banci 2020 akan tetap diteruskan di seluruh Malaysia kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan banjir.

Menurutnya, DOSM telah mengatur strategi bagi kawasan yang berada di bawah PKPD dan mewujudkan SOP pembancian di lapangan bagi membendung penularan Covid-19.

“Kita akan hantar borang banci untuk mereka isi dan borang itu akan diambil semula kemudian atau ketika banci dilakukan selepas tamatnya PKPD,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti banci yang dilakukan pegawai banci bermula pada jam 8 pagi.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada budi bicara penduduk. Ada yang minta datang pada sebelah malam tetapi yang pasti ia tidak akan mengganggu waktu rehat penduduk,” katanya.

Mohd Uzir berkata, selaras dengan perkembangan semasa Covid-19, pegawai banci tidak digalakkan meluangkan masa yang lama di setiap rumah yang dikunjungi.

Menurutnya, isi rumah yang mempunyai empat hingga lima orang, kebiasaannya akan mengambil masa sehingga 45 minit untuk mengisi maklumat.

“Pengisian maklumat dilakukan menerusi sistem yang dibangunkan oleh DOSM.

“Pembancian kali ini akan menggunakan tiga kaedah untuk merekodkan data penduduk iaitu CAPI (Computer Assisted Personel Interview), PAPI (Paper and Pen Interview) dan DOPU (Drop Off and Pick Up).

“Kaedah CAPI adalah semua data Penduduk akan di key-in terus ke dalam sistem, manakala PAPI dan DOPU, data penduduk akan direkodkan dalam borang soal selidik yang disediakan oleh DOSM,” katanya.

Mohd Uzir berkata, seramai tiga juta penduduk warga asing turut terlibat dalam banci tersebut dan sehingga kini seramai 179,000 warga asing telah direkodkan dalam banci menerusi e-Census.

Mengulas mengenai strategi banci terhadap warga asing, beliau berkata, kaunter banci yang dikenali sebagai kaunter atau Kiosk Banci akan dibuka di kilang dan tapak pembinaan yang mempunyai pekerja asing.

“Kita akan memastikan mereka akan dihitung dalam banci ini,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah pegawai banci yang bertugas dalam tempoh fasa kedua, Mohd Uzir berkata, seramai 43,000 orang akan dilantik.

Menurutnya, setiap pegawai banci tersebut akan melakukan bancian di kawasan tempat tinggal mereka.

“Biasanya seorang pembanci akan membanci sebanyak 100 hingga 300 buah rumah dalam tempoh pembancian.

“Individu yang berminat boleh membuat permohonan menerusi laman sesawang DOSM atau terus ke DOSM negeri berdekatan.

“Kita alu-alukan mereka yang mahu mencari kerja sambilan. Inilah masanya dan gaji ditawarkan adalah sebanyak RM1,600,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir turut menggesa orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pegawai banci.

Menurutnya, maklumat itu akhirnya dapat menghasilkan dasar pembangunan negara yang tepat.

“Negara kita memerlukan data yang komprehensif dan lengkap untuk menentukan hala tuju Malaysia dalam pelbagai sektor.

“Pra pelaksanaan operasi di lapangan secara bersemuka telah bermula melibatkan aktiviti semakan di lapangan dan penyenaraian tempat kediaman di kawasan terpilih termasuk urusan berkaitan logistik,” katanya.

Selain itu, katanya, pegawai banci yang berada di lapangan juga akan membantu orang ramai untuk melengkapkan pengisian e-Census dan menyelesaikan bancian kawasan berkenaan.

“DOSM ingin merakamkan terima kasih kepada penduduk yang telah menyelesaikan pengisian e-Census,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!