Kerajaan peruntuk RM96,850 untuk mangsa kebakaran Putatan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bantuan Bencana Negara (Kebakaran) di Putatan dekat sini hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew (kiri). - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bantuan Bencana Negara (Kebakaran) di Putatan dekat sini hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata, kerajaan persekutuan memperuntukkan sejumlah RM96,850 dalam bentuk wang ihsan serta bantuan persekolahan kepada mangsa kebakaran di Putatan dan Kudat.

Beliau berkata, pemberian bantuan itu melibatkan 77 ketua isi rumah (KIR) yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Kampung Kerakit Pulau Banggi, Kudat pada 13 Januari dan 78 KIR serta 42 pelajar yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih Putatan, 11 Januari lepas.

“Setiap KIR akan menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM500 manakala pelajar akan menerima bantuan barangan keperluan persekolahan maksimum bernilai RM150 seorang.

“Bantuan ini bukanlah berbentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami oleh mangsa sebaliknya merupakan sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringankan beban yang dialami oleh mangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bantuan Bencana Negara (Kebakaran) di Putatan dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai yang juga ADUN Petagas serta Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari.

Wan Azizah berkata, Kerajaan Persekutuan amat peka dan bersimpati atas kemusnahan dan kerosakan harta benda yang dialami mangsa akibat bencana terutamanya kepada mangsa yang terlibat di Sabah.

“Sehingga kini, Kerajaan Persekutuan telah memberi bantuan bencana berjumlah RM7.23 juta di bawah peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara kepada kerajaan negeri Sabah melalui agensi-agensi pelaksana yang telah dilantik bagi membaiki atau membina semula infrastruktur yang rosak.

“Antaranya ialah untuk mangsa-mangsa kebakaran di Rumah Panjang Belantos, Nabawan; Projek Penyusunan Semula Penempatan di Kampung Tanjung Kapor, Kudat; membina semula gerai-gerai di Kampung Tonsom, Langkon, Kota Marudu; membina titian pejalan kaki dan jalan konkrit di Kampung Pantai Bahagia, Kudat serta kerja-kerja pembaikan cerun di Pusat Tahanan Sementara, Kota Kinabalu,” katanya

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain itu, bagi membantu meringankan beban mangsa yang baru sahaja dilanda bencana, kerajaan persekutuan juga memberikan bantuan wang ihsan yang merupakan sumbangan ikhlas kepada mangsa.

“Pada tahun 2018 sahaja sebanyak RM2.09 juta bantuan wang ihsan telah diberikan kepada 4,186 KIR mangsa-mangsa yang telah mengalami bencana di seluruh Sabah,” tambahnya. - Bernama