X

Kindly register in order to view this article
!

Hak manusia, hak beragama

A
A

KECENDERUNGAN seksual menjadi isu yang hangat diperkatakan, apatah lagi apabila ia diperjuangkan atas jalur hak asasi manusia.

Oleh sebab kecenderungan seksual itu bersifat peribadi, ia dikatakan hak peribadi dan tidak boleh diganggu oleh pemerintah ataupun orang lain.

Pendekatan itu diambil sesetengah golongan kerana meletakkan kepentingan persendirian mengatasi kepentingan umum.

Menurut Imam Ali bin Muhammad Al Jurjani dalam kitab al taarifaat, kebebasan bererti membebaskan diri daripada tunduk kepada makhluk dan memutuskan segala bentuk hubungan serta kaitan dengan perkara lain.

Beliau berpandangan kebebasan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu bebas daripada kehendak hawa nafsu, bebas daripada mengikuti kehendak diri kerana fokus kehendak adalah kepada Yang Maha Esa dan bebas daripada resam dan pengaruh luar yang memusnahkan diri daripada cahaya hikmah daripada Tuhan.

Dalam Islam, kebebasan itu sendiri terpatri hadnya hanya kepada apa yang termasuk dalam ketaatan kepada ALLAH SWT.

Berbalik kepada kecenderungan seksual itu sebenarnya terdapat banyak golongan yang perlu kita ketahui.

LGBT ialah istilah yang sudah tidak asing lagi di Malaysia. Di Malaysia, golongan itu sedang memperjuangkan hak mereka untuk ‘mengamalkan’ gaya hidup mereka tanpa campur tangan pemerintah.

Ia sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Konsep amar maaruf nahi mungkar mestilah diaplikasikan kepada mereka untuk membawa balik mereka ke pangkal jalan.

Gerakan sebegini di luar negara adalah lebih hebat lagi. Mereka bukan sahaja memperjuangkan LGBT tetapi menambahnya menjadi LGBTIQ.

Penambahan Intersexed (seorang yang mempunyai dua alat kelamin) dan Queer (seorang yang melakukan seks melampaui jantina lelaki dan perempuan sahaja tetapi termasuk dengan haiwan, pokok dan apa sahaja yang difikirkan sesuai) agak menggusarkan.

Walaupun kita tidak mempunyai masalah dengan golongan intersexed atau lebih dikenali dalam Islam sebagai khunsa tetapi golongan queer akan mendatangkan fenomena buruk kepada negara jika diamalkan.

Bagi queer, jika dibenarkan amat malanglah bagi negara kerana perkara jijik seperti itu akan berleluasa dan memalukan. Di mana nilai sopan ketimuran kita semata-mata mahu mengikuti nilai antarabangsa begitu asing daripada norma dan budaya tempatan.

Selain LGBTIQ, terdapat juga golongan seperti Asexual iaitu mereka yang tidak mempunyai nafsu seks. Mereka bukanlah golongan yang mengamalkan celibacy atau pembujangan atas faktor agama atau lain tetapi memang tidak mempunyai naluri seksual semula jadi.

Golongan Ally pula merupakan orang yang bukan LGBT tetapi menyokong dan mempertahankan hak LGBT. Golongan itu perlu disedarkan kerana mereka mepunyai perasaan kasihan terhadap LGBT yang dimomokkan sebagai ditindas masyarakat awam.

Atas faktor kasihan dan hak peribadi itu. Ada golongan ally yang jauh lebih hebat mempertahan dan memperjuang LGBT daripada golongan LGBT sendiri.

Selain itu, golongan transexual pula merupakan golongan yang telah menjalani proses perubatan menukar alat kelamin. Hanya golongan heterosexual sahaja merupakan golongan yang normal iaitu orang yang tertarik dan menyukai orang lain daripada gender berlainan.

Namun, golongan itu juga perlu dihadkan kerana perlakuan seksual tidak boleh dibiarkan berleluasa atas dasar kerelaan tanpa menjalani ikatan perkahwinan yang sah.

Islam bukan sahaja mengharamkan perzinaan tetapi juga mendekati perzinaan. Lantaran itulah, di Malaysia terdapat kesalahan seperti khalwat, berkelakuan tidak sopan, persediaan melakukan zina dan banyak lagi bagi menghalang orang Islam menghampiri zina.

Terdapat begitu banyak golongan abnormal perlu didekati bagi mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Mengherdik dan mencerca mereka hanya membuahkan natijah mereka lari lebih jauh daripada kebenaran. Pendekatan berhikmah amat perlu bagi membimbing mereka ke pangkal jalan.

Sudah sampai masanya modul atau pendekatan digarap bagi mendekati golongan yang disebut di atas bertujuan untuk memberi kesedaran dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan serta menjalani kehidupan berdasarkan lunas syariah. Mereka juga perlu diajak melihat indahnya kehidupan di bawah lembayung syariah.

Namun, sekiranya segala usaha membimbing mereka ke pangkal jalan gagal atau tidak berhasil, tindakan undang-undang bolehlah diambil.

Mereka tidak harus dibiarkan begitu sahaja kerana ia akan dilihat sebagai memberi pengiktirafan kepada mereka menjalani kehidupan yang tidak diredai ALLAH SWT.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!