Sejarah dalam karya sastera

Bukan senang menghasilkan novel sejarah kerana ia memerlukan ketelitian fakta supaya tidak tersesat dalam naratifnya.
Bukan senang menghasilkan novel sejarah kerana ia memerlukan ketelitian fakta supaya tidak tersesat dalam naratifnya.
A
A
A

SALINA Ibrahim dengan Demi Tanah Qalha, memenangi hadiah pertama dalam Sayembara Penulisan Novel Remaja 2019 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Sejarah Malaysia, yang diumumkan baru-baru ini, menyatakan bukan senang menghasilkan novel sejarah.

Ia memerlukan ketelitian fakta, supaya tidak tersesat dalam naratifnya. Sumbernya benar daripada buku yang dihasilkan oleh pakar sejarah. Seandainya tidak ditangani dengan sempurna, ia akan jatuh menjadi karya hanya berunsur sejarah.

Kenyataan itu tepat, kerana yang dihasilkannya ialah berbentuk teks sastera sejarah secara faktual. Selain karya bergenrekan sejarah, aksara penciptaan karya sastera, ialah bercorak kekinian dan futuristik. Yang sejarah menggarap peristiwa yang telah berlalu, silam dan klasik; lazimnya beraliran romantisisme.

Kekinian pengarang memparodi peristiwa harian, yang kontekstual dengan budaya hidup mutakhir, beraliran realisme. Futuristik, meramal dan menujumkan wajah hidup masa depan, berisi harapan dan impian surealisme. Pada suatu zaman, karya sejarah sangat mendominan. Kemudian digantikan dengan karya kekinian, dan seterusnya diikuti oleh futuristik.

Sejarah seperti yang difahami oleh Salina Ibrahim, dalam pertandingan untuk menulis novel remaja itu, konsep sejarahnya sesuai dengan yang faktual.

Pendekatan ini berakar daripada aliran romantisisme, akur dengan ketepatan peristiwa. Romantisisme percaya penyelewengan atau deviasi dalam penulisan sejarah adalah jenayah. Karya Leo Tolstoy, Shakespeare dan Victor Hugo mengambil sumber asli, dan taat kepada jalur peristiwa sejarahnya.

Penyelidikan

Pada sekitar 1950-an hingga 1960-an, banyak novel Harun Aminurrashid seperti Panglima Awang dan Darah Kedayan dihasilkan. Shaharom Hussain dan Syed Alwi al-Hady, menulis drama sejarah. Mereka melakukan penyelidikan perpustakaan dan turun ke lapangan, mendapatkan fakta yang autentik.

Artikel Berkaitan:

Shaharom Husain pernah memberitau saya, berbulan-bulan malah bertahun-tahun, untuk mengumpulkan fakta, setelah cukup barulah karya ditulis.

Perjuangan membela tanah air, pertentangan terhadap kejahatan, berakhir dengan darah dan air mata, serta bercorak tragedi, adalah struktur utama karya sejarah.

Sumbangannya ke arah patriotisme dan nasionalisme, seperti Shakespeare menginggeriskan orang-orang Inggeris dan Shaharom Hussain memelayukan Melayu, menjadi visi dan misinya.

Kebanjiran karya bercorak sejarah, memerlukan penilaian yang sesuai dengannya. Morse Peckham, R.A. Fokes, Maurice Bowra dan Louis Gottschalk adalah pendiri teori kritikan sejarah. Prinsipnya, menilai rakaman sejarah yang hilang, menelusuri pelakar sejarah, dan menukil perasaan, pemikiran dan falsafah bangsa; sambil mengubat luka dan dosa sejarah.

Dalam konteks sastera klasik, sedia wujud genre historiografik. Disebabkan berbaur dengan unsur legenda, mitos, dongeng dan fantasi, ia bukanlah asli sejarah.

Namun, mempunyai signifikasinya, kerana pencitraan pensejarahan dengan jurai salasilah raja-raja Melayu, dan hierarki masyarakat feudal serta epik Melayu di dalamnya.

Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, dan Tuhfat al-Nafis adalah contoh teks historiografik, menarik dan tinggi persasteraannya, semuanya terpilih sebagai karya agung.

Sebuah tragedi telah terjadi, teks sejarah telah mengalami kematian pada zaman awal pascamoden. Strukturalisme, dekonstruksi, stilistik dan hermeneutik menafikan kepentingan sejarah. Kesakitannya bertambah, akibat pengisytiharan “kematian pengarang” dan “kepalsuan masa silam” yang dikonsepsikan oleh Roland Barthes.

Akibat Perang Dunia, manusia kehilangan sejarah dan menistai zaman silam, yang penuh dengan malapetaka, kehancuran dan kegelapan. Karya bergenrekan sejarah hilang tanpa nisan.

Mujurlah, setelah begitu jauh sejarah berkelana dan dilupakan, manusia mula merindui masa silam. Najis sejarah harus dibersihkan, interpretasi dan penilaian baharu harus dilakukan.

Derek Attridge dalam bukunya Post-structuralism and the Question of History (1978), mula berwacana menuntut pengarang menghasilkan karya sejarah. Terry Eagleton (1988) menyatakan, kealpaan terhadap sejarah, membawa teks terapung-apung antara kekinian dan masa hadapan.

Linda Hutcheon (2008), berhasil membuktikan, kelahiran genre baharu, metahistoriografik pada zaman pascamoden, wahana sejarah dengan penjanaan kekuasaan, dan wujudnya double voice, iaitu mengandung makna tersirat.

Penulis tanah air juga menghasilkan genre metahistoriografik ini, seperti Usman Awang dengan Matinya Seorang Pahlawan, Zakaria Ariffin dengan Pentas Opera, Arena Wati dengan Sukma Angin dan Faisal Tehrani 1515.

Sejarah tidak lagi bersifat faktual, sebaliknya dijungkir-balikkan, terjadi demitifikasi, iaitu penentangan terhadap makna yang lazim untuk mencari makna yang berbeza.

Kemudian lahir pula genre metasejarah sekitar tahun 2000, yang tidak lagi mementingkan kronologikal peristiwa, menumpukan kepada gagasan kekuasaan, dimensi politik dan berunsur pascakolonialistik. Jalinannya hasil penggalian mengikut anjuran Jacques Derrida dalam teori dekonstruksi.

Justeru, berlaku desiminasi, iaitu pelanggaran terhadap segala pusat dan paksi penciptaan karya sebelum itu, dan terciptalah teks bersifat difference, berubah daripada apa yang dianut oleh zuriat strukturalisme.

Secara eklektikal, bergabung di dalamnya pelbagai teori pascamoden, termasuk falsafah teori teksdealisme dan taabudiyah, supaya ia dapat melahirkan sebuah teks, yang rencam dan pelbagai warna. Drama Di Hujung Taming Sari dan cerpen Di Negeri Pembohong karya Mana Sikana adalah sebagai contohnya.

Begitulah ada tiga jenis teks karya sejarah. Pertama, sejarah secara faktual, yang mementingkan ketepatan peristiwa, khas untuk khalayak yang tidak mengetahui aspek sejarahnya.

Kedua, karya metahistoriografik, yang memberi tafsiran dan makna baharu terhadap sejarah. Ketiga, metasejarah, yang melakukan penggalian untuk mencungkil hakikat peristiwa, dan melakukan pelanggaran terhadap sejarah, untuk menyuguhkan misi dan visi yang lebih dinamik dan progresif.

Ketiga-tiga jenis teks itu, mempunyai fahaman dan anutan yang berbeza terhadap sejarah. Ada sejarah bagaikan kanun agama, yang tidak boleh ditokok-tambah. Ada sejarah yang boleh ditukar- ganti, dan diberi makna baharu. Ada sejarah, yang digali daripada timbunan persembunyian peristiwanya, untuk mendapatkan hakikat sejarahnya.

Justeru, para pengarang, boleh berkarya dengan memilih sama ada jalur Demi Tanah Qalha yang bercorak faktual, Pentas Opera yang bersifat metahistoriografik atau Di Hujung Taming Sari yang bergenrekan metasejarah.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia