Mungkin jalan terbaik HSR

A
A
A

PERJANJIAN HSR Kuala Lumpur-Singapura luput tempoh pada 31 Disember 2020 setelah kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara.

Pada hemat penulis, antara punca Malaysia membenarkan perjanjian itu luput adalah kerana terdapat klausa yang menyatakan mana-mana negara tidak boleh membuat sebarang perubahan terhadap HSR tanpa persetujuan negara satu lagi walaupun ia membabitkan perubahan reka bentuk stesen atau perubahan jajaran domestik yang tidak jajaran antarabangsa Jurong-Bandar Malaysia.

Pada masa hadapan, sekiranya Malaysia mahu menambah stesen melebihi Bandar Malaysia pun perlu mendapat kebenaran Singapura.

Pembatalan perjanjian itu membolehkan kerajaan meneliti perubahan baharu yang menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, boleh mengurangkan 30 peratus kos keseluruhan kos projek sekiranya Malaysia membuat perubahan jajaran, reka bentuk stesen, perubahan struktur projek dan memansuhkan AssetsCo.

Namun, seperti diketahui, alasan utama pembatalan itu adalah Malaysia mahu memansuhkan model AssetCo yang mahal dan bakal meningkatkan beban kewangan tinggi kepada negara.

Penolakan AssetCo tidak berkaitan dengan ketelusan dan tender terbuka. Ia lebih kepada kos pengurusan dan jaminan kerajaan yang terlalu tinggi kepada syarikat asing.

Ada tiga entiti yang bakal terbabit dalam projek HSR iaitu InfraCo, AssetCo dan Opco.

InfraCo berfungsi sebagai syarikat pembinaan yang akan membangunkan kerja tanah, membina stesen dan prasarana sokongan, manakala AssetCo yang menjadi kontroversi sekarang adalah sebuah konsesi antarabangsa ataupun syarikat negara asing yang akan membekal dan menyelenggara sistem komunikasi, sistem isyarat, trek rel dan tren keretapi kepada projek HSR.

Artikel Berkaitan:

Kemudian, akan ada OpCo yang akan menguruskan operasi harian dan mengutip tambang daripada penumpang bagi menjana pendapatan untuk menampung bayaran caj sewaan keretapi serta caj akses trek rel kepada AssetsCo.

Dengan kata lain, OpCo perlu membayar jumlah tertentu kepada AssetsCo sebagai sewa kepada kemudahan yang disediakan dan juga bayaran balik kepada kos-kos yang telah dilaburkan AssetsCo.

Sebagai jaminan pendapatan kepada AssetsCo, kerajaan perlu sediakan jaminan dalam bentuk Jaminan Kerajaan kepada AssetsCo berjumlah RM2 bilion setahun selama 30 tahun.

Ia bagi menjamin pelaburan yang telah dikeluarkan AssetsCo tidak mengalami kerugian sekiranya bayaran yang diterima daripada OpCo tidak mencapai kadar ditetapkan.

Malaysia mendapati struktur pengurusan HSR telah menyebabkan peningkatan kos terutama membabitkan syarikat AssetCo dan boleh dijimatkan melalui model pengurusan baharu.

Difahamkan Malaysia telah mencadangkan agar HSR hanya mempunyai syarikat pengurusan operasi (OpCo) dan syarikat pengurusan infrastruktur (InfraCo). Model pengurusan itu telah teruji dan diguna pakai pada peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Singapura mengambil keputusan menolak perubahan itu atas alasan Asset-Co sangat penting bagi memastikan HSR berfungsi dengan baik dan tanpa gangguan.

Sungguhpun alasan Singapura nampak suci, namun perkara berkenaan AssetsCo bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah atau dirundingkan.

Jawapan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung kepada Parlimen Singapura Isnin lalu menyatakan: “Dengan (perjanjian dua hala) HSR telah ditamatkan, Singapura bersedia untuk membincangkan sebarang usulan baharu dari Malaysia berhubung HSR KL-Singapura.”

Jika AssetCo menjadi begitu penting, sudah tentulah Singapura akan menyatakan mereka tidak akan berkompromi dan tidak akan berunding tanpa kewujudan AssetCo.

Pastinya banyak perkara belum dapat didedahkan kerana kerajaan memegang tanggungjawab dan terikat dengan klausa kerahsiaan.

Justeru, mahu atau tidak kita harus memberi kepercayaan kepada Mustapa untuk menguruskannya buat sementara waktu. Beliau telah menjadi anggota Kabinet menguruskan hal ehwal ekonomi negara di bawah empat Perdana Menteri – Dr Mahathir, Abdullah Badawi, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin sejak 20 tahun lalu.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)