X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa terkilan tidak tunai pesanan terakhir Mohammad Hakimin

Ketua Jajahan Kuala Krai, Tengku Ab Rahman Tuan Yunus (kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Mohd Rahim Mohd Yusof, 53 (dua dari kiri) sempena majlis Bantuan Misi Banjir McDonald’s Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balai Polis Kuala Krai di Sekolah Kebangsaan Pemberian pada Sabtu. -- fotoBERNAMA
A
A

KUALA KRAI - “Arwah tidak henti-henti berpesan kepada saya supaya membawa baju Melayu kesayangan, pemberian kakak sulungnya Rabiatul Fitri ke tempat perpindahan,” luah Mohd Rahim Mohd Yusof, 53, bapa Allahyarham Mohammad Hakimin yang terkorban ketika membantu mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Mohd Rahim dari Kampung Manjor berkata, dia terkilan tidak dapat memenuhi pesanan terakhir arwah Mohammad Hakimin, 20, berikutan keadaan kelam-kabut berdepan banjir.

“Saya tidak mengendahkan pesanan itu memandangkan banjir kali ini bukanlah seteruk 2014, jadi saya beranggapan jika tidak bawa ke tempat pemindahan pun tidak mengapa... namun sampai ke hari ini saya masih teringat pesanan arwah itu dan merasa terkilan kerana tidak memenuhi pesanan terakhirnya,” katanya dalam nada sebak.

Mohd Rahim berkata demikian ketika ditemui di Majlis Misi Bantuan Banjir McDonald’s Malaysia bersama Balai Polis Kuala Krai di Sekolah Kebangsaan Pemberian di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengurus Operasi McDonald’s Malaysia Bahagian Pantai Timur, Safna Sepian, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan, Suzaimi Mohamad, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Kamarulzaman Harun dan Ketua Jajahan Kuala Krai, Tengku Ab Rahman Tuan Yunus.

Berkongsi mengenai anak keempat daripada enam beradik itu, Mohd Rahim menyifatkan Mohammad Hakimin seorang yang ringan tulang dan sering membantu penduduk kampung bukan sahaja ketika musim banjir.

“Selepas pemergian arwah rata-rata penduduk kampung serta rakan-rakannya tidak henti-henti menziarahi kami sekeluarga selain turut menghargai jasa arwah yang sering membantu bukan sahaja ketika banjir tetapi setiap kali penduduk kampung memerlukan bantuan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Mohammad Hakimin ditemukan lemas di Kampung Manjor di sini pada Rabu lalu selepas terjatuh dari perahu ketika membawa mangsa banjir ke PPS.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa tiba-tiba pengsan lalu terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perahu ketika membawa dua penumpang untuk ke PPS berdekatan.

Mangsa dikatakan terlalu kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak awal pagi hingga malam.

Pemergian Mohammad Hakimin tular di media sosial dan mendapat perkongsian ramai termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di laman Facebook beliau dan natizen dipuji sebagai ‘wira tidak didendang’ yang membantu penduduk sehingga bergadai nyawa. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!