Rujuk PKOB sebelum hulur bantuan kepada manga banjir

Mohammad Hamdan (kiri) beramah mesra dengan petugas banjir ketika turun padang meninjau situasi banjir di Rantau Panjang.
Mohammad Hamdan (kiri) beramah mesra dengan petugas banjir ketika turun padang meninjau situasi banjir di Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan kebajikan yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir supaya berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Sri Mohammad Hamdan Wahid berkata, tindakan itu bertujuan mengelakkan mereka berdepan risiko ketika melaksanakan misi itu nanti.

"Selain itu, pemakluman kepada agensi penyelarasan utama di kawasan yang ingin disantuni seperti pejabat tanah atau polis perlu dilakukan oleh NGO dan badan amal itu," katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau situasi banjir di Rantau Panjang pada Sabtu.

Terdahulu, beliau diberikan taklimat berhubung situasi semasa perkembangan banjir di negeri ini di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Datuk Nor Hisham Mohamad serta Pengarah Bahagian Udara, Nazili Mahmood.

Menurutnya, walaupun banjir sudah reda, namun masih ada kawasan yang terputus hubungan dan aliran airnya masih lagi deras.

Beliau berkata, disebabkan itulah JBPM meminta NGO atau badan amal bersabar dan menunggu keadaan menjadi tenang sebelum turun menghulurkan bantuan.

"Kita amat bimbang jika NGO atau badan ini datang dari luar kerana mereka bakal berdepan bahaya kerana tidak mengetahui keadaan topografi di kawasan yang ingin disantuni itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Hamdan berkata, NGO dan badan amal turut dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan berani dengan meredah banjir menggunakan kenderaan.

Katanya, selain aspek keselamatan, JBPM juga mahu proses penyampaian bantuan berjalan lancar menerusi kerjasama dengan PKOB.

"Ia sekaligus membolehkan semua mangsa terlibat menikmati bantuan tersebut," katanya.