'Perang' Twitter dan Donald Trump

Akaun peribadi Trump @realDonaldTrump akhirnya digantung secara kekal oleh Twitter pada Jumaat. - Foto: Agensi
Akaun peribadi Trump @realDonaldTrump akhirnya digantung secara kekal oleh Twitter pada Jumaat. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berdepan desakan untuk meletak jawatan atau berisiko disingkirkan berdepan satu lagi tamparan hebat selepas laman blog mikro yang menjadi medium media sosial kegemaran beliau bertindak menggantung akaun miliknya pada Jumaat.

Twitter yang berpusat di San Francisco menerusi satu kenyataan menegaskan tindakan itu dibuat kerana pemimpin terbabit ‘terlalu berbahaya’ untuk menggunakan platform mereka susulan insiden rusuhan ganas ke atas Capitol pada Rabu lalu.

“Setelah mengkaji semula tweet daripada akaun @realDonaldTrump, kami memutuskan untuk menggantung secara kekal akaun tersebut kerana risiko untuk menghasut keganasan,” jelas Twitter berhubung keputusan tidak pernah dibuat mereka terhadap akaun milik Presiden ke-45 AS yang mempunyai 57,000 tweet dan 88.7 juta pengikut itu.

Menerusi tweet terakhir Trump, beliau memaklumkan tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah jawatan bakal penggantinya, Joe Biden pada 20 Januari depan.

“Kepada mereka yang bertanya, saya tidak akan hadir,” ujarnya yang turut mendapat respons sinis Biden ‘ia adalah keputusan yang tepat’.

Tidak lama selepas akaun peribadinya digantung, Twitter juga mengambil tindakan tegas memadamkan tweet dimuat naik Trump pada akaun rasmi Presiden AS @POTUS selepas pemimpin terbabit menggunakannya untuk mengkritik laman blog mikro itu.

“Twitter melangkaui had dengan menyekat kebebasan bersuara. Kakitangan Twitter bersama Demokrat bertindak memadamkan akaun saya untuk menutup mulut saya dan KAMU, kesemua 75 juta patriot yang mengundi saya,” ujarnya menerusi tweet pada akaun @POTUS.

Bilionair hartanah itu juga menuduh Twitter bersekongkol dengan ‘radikal haluan kiri’.

Artikel Berkaitan:

“Menggunakan akaun lain untuk mengelakkan langkah penggantungan terhadap akaun sendiri adalah perbuatan melanggar peraturan kami,” tegas Twitter.

Pada Rabu lalu, Twitter menyekat akaun Trump selama 12 jam susulan kejadian pencerobohan ke atas Capitol malah ia juga memberi amaran untuk menggantung secara kekal jika beliau berterusan melanggar peraturan laman media sosial tersebut.

Bilionair hartanah itu kembali semula menggunakan Twitter pada lewat Khamis dengan berkongsi rakaman video kononnya untuk meredakan ketegangan yang berpunca daripada hasutan beliau sendiri. - AFP