X

Kindly register in order to view this article
!

'PN lebih pentingkan survival politik berbanding survival negara'

Lim Guan Eng
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih mementingkan fokus survival politik mereka berbanding survival negara daripada pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan kerajaan PN mencadangkan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam keadaan krisis pandemik yang semakin meningkat dilihat tidak bertanggungjawab.

“Setiap hari kita melihat ahli parti komponen PN daripada UMNO, Bersatu dan Pas, mengadakan mesyuarat tergempar bukan untuk membincangkan Covid-19, tetapi bagaimana mereka dapat memperbaiki hubungan antara "sekutu" mereka dalam PN.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi para pemimpin UMNO untuk menuntut pilihan raya awal di tengah-tengah krisis terbesar dalam sejarah negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO desak segerakan PRU15

UMNO berdepan protes rakyat jika terus desak PRU15

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan PN gagal membuktikan kecekapan mereka dalam usaha mendapatkan penghantaran vaksin Covid-19 dengan lebih awal.

Menurutnya, Malaysia menerima vaksin lewat dua bulan berbanding Singapura di mana Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong telah menerima suntikan vaksinnya pada Jumaat.

“Malaysia harus menunggu dua bulan lagi kerana ketidakcekapan kerajaan PN yang lebih fokus pada survival politik daripada kesihatan rakyat.

“Alasan untuk kelewatan bahawa Malaysia tidak dapat menyediakan sejumlah wang sebanyak RM2.1 bilion dalam krisis kecemasan, menunjukkan tahap kejahilan dan ketidakcekapan melampau menteri dan Kabinet kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan PN agar fokus membincangkan soal kepentingan rakyat melalui mesyuarat Parlimen.

“Rakyat Malaysia sudah muak dan letih dengan politik yang tidak henti-henti oleh PN dan mahu krisis politik yang berterusan dalam kerajaan berakhir.

“Sudah tiba masanya kerajaan PN mengadakan pertemuan dengan semua parti politik untuk membincangkan krisis kesihatan awam Covid-19.

“Mesyuarat Parlimen tergempar adalah jalan terbaik untuk mengumpulkan sokongan rakyat dan menjalinkan perpaduan nasional demi membolehkan rakyat Malaysia bersatu mengatasi Covid-19 bersama,” jelasnya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Katanya, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!