PKPD di tiga lokaliti di Johor, Negeri Sembilan dilanjut

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti, masing-masing melibatkan dua zon di Johor dan satu di Negeri Sembilan yang dijadual berakhir esok dilanjutkan sehingga 24 Januari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti di Johor melibatkan Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru; serta Dewan Arena Segitiga, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, manakala di Negeri Sembilan di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu.

"Perkara itu diputuskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian risiko di tiga kawasan berkenaan. KKM mengesahkan masih terdapat baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan di Penjara Jelebu.

"Selain itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di Pusat Koreksional Johor Bahru masih tinggi dan banyak kes baharu dikesan selepas saringan kedua dilaksana, manakala kadar positiviti di lokaliti Dewan Arena Segitiga juga sangat tinggi," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Sabtu.

Mengenai ‘task force’ operasi pematuhan, beliau berkata, polis menahan 372 individu semalam atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk melibatkan aktiviti hiburan, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka dan gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal dengan kesemuanya dikenakan kompaun.

Bagi Op Benteng pula, Ismail Sabri berkata, seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pada Jumaat dan sembilan kenderaan darat dirampas.

Berhubung pemeriksaan di tapak binaan, beliau berkata, sejak 20 April sehingga Jumaat sebanyak 14,223 pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,064 tapak pembinaan di seluruh negara.

"Semalam (Jumaat), anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di 11 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: