X

Kindly register in order to view this article
!

Bayi empat bulan meninggal dunia di rumah pengasuh

Gambar hiasan 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bayi lelaki berusia empat bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 9 di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, berdasarkan siasatan awal, pengasuh wanita berusia 48 tahun berkenaan mendakwa bayi itu mengalami demam dan selesema semasa dihantar ke rumahnya pada pagi hari tersebut.

"Apabila bayi tersebut tidak bangun dari tidur ketika dikejutkan, pengasuhnya terus menghubungi ibu bayi dan pihak hospital," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd Fadzil, wanita itu mula menjaga bayi berkenaan kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, mayat bayi dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, manakala hasil ujian saringan Covid-19 ke atasnya adalah negatif.

"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan keputusan bedah siasat," katanya.

Mohd Fadzil turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis yang berdekatan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!