2,451 kes baharu Covid-19 direkod hari ini

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes harian baharu Covid-19 di Malaysia terus mencatat empat angka dengan 2,451 kes baharu dilaporkan pada Sabtu, manakala 1,401 kes sembuh dan masing-masing lima kluster baharu dan kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga Sabtu, jumlah kes positif sebanyak 133,559 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 26,185 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula sebanyak 2,446 kes.

"Bagi kes penularan dalam negara, 1,858 kes adalah warganegara Malaysia dan 588 kes bukan warganegara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Selangor kekal mencatat kes harian baharu tertinggi sebanyak 564 kes diikuti Sabah 409 kes dan Negeri Sembilan 351 kes.

Menurutnya, daripada 564 kes di Selangor, 342 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 di lapangan.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian pula membabitkan lima lelaki warganegara berusia 60 hingga 87 tahun dengan tiga daripadanya meninggal dunia di Johor dan dua di Selangor, kesemuanya mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Katanya, sehingga kini juga terdapat 177 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan:

Daripada keseluruhan kes baharu pada Sabtu, beliau berkata, 327 kes daripadanya berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 291 kes, Kluster Telok Mas (17), Kluster Tembok Gajah (9), Kluster Damai Pelangi (8), Kluster Pagar Siput (1) dan Kluster Tembok Choh (1).

Sementara itu, antara kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan dengan 291 kes, Kluster Beringin (226 kes) dan Kluster Jalan Perindustrian (115 kes).

Mengenai kluster baharu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat penambahan lima kluster baharu pada Sabtu iaitu Kluster Symphony Magazine; Kluster Pasai dan Kluster Palut serta dua kluster tempat kerja iaitu Kluster Mikro dan Kluster Teknologi Kesidang.

Kluster Symphony Magazine dikesan melibatkan Timur Laut dan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang mencatat 44 kes positif Covid-19; Kluster Pasai di Sibu dan Mukah, Sarawak (38 kes); dan Kluster Palut di Dungun, Terengganu melibatkan 10 kes.

Selain itu, Kluster Mikro di Johor Bahru, Kulai, Pontian, dan Kota Tinggi, Johor mencatat 97 kes, manakala Kluster Teknologi Kesidang di Melaka Tengah, Melaka dengan 18 kes.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 581, manakala kluster yang telah tamat sebanyak 325 kluster termasuk enam kluster tamat hari ini iaitu Kluster Bukit Gemok, Kluster Erima, Kluster Baloi, Kluster Talang-talang, Kluster View Kolombong, dan Kluster Jalan Kilang.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 256 kluster dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 58 kluster melaporkan pertambahan kes pada Sabtu. - Bernama