60 pegawai, anggota bomba terjejas banjir

Hamdan (dua dari kiri) memeriksa baris sewaktu membuat lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman pada Sabtu.
Hamdan (dua dari kiri) memeriksa baris sewaktu membuat lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membantu 60 pegawai dan anggotanya yang turut terjejas susulan banjir yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, jumlah itu berdasarkan data yang dikumpul negeri yang dilanda banjir iaitu Terengganu, Pahang, Perak, Kelantan dan Sabah.

"Daripada jumlah itu, 36 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis, Pahang manakala 24 orang lagi dari BBP Chukai, Kemaman.

"Kita akan mengambil kira peralatan dan kerosakan yang ditanggung mereka, sebelum menyalurkan bantuan mengikut keupayaan jabatan," katanya pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau meninjau perkembangan banjir di Kemaman melalui udara dan melakukan lawatan ke balai-balai bomba di Kemaman.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada JBPM boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan kepada Unit Kebajikan.

"Kita ada Tabung Wira yang diwujudkan untuk membantu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mana-mana pegawai dan anggota yang dilanda musibah seperti bencana.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kerosakan di balai pula, kita akan buat penyelenggaraan semula dan membaiki kerosakan mengikut kemampuan kewangan yang ada, selain mendapatkan bantuan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.