X

Kindly register in order to view this article
!

Desakan PRU15 tindakan tidak bertanggungjawab

MUKHRIZ
A
A

JERLUN - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan tindakan UMNO mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya setuju bahawa desakan berkenaan tidak wajar mahupun bersesuaian dalam keadaan negara berdepan krisis pandemik Covid-19.

"Kita lihat apa berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) namun wujud kluster dan peningkatan jangkitan yang merebak ke merata-rata.

"Bayangkan, jika negara melaksanakan PRU, walaupun ada SOP tetapi untuk dilakukan di Malaysia dirasakan tidak patut ketika ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kupon Bantuan Pakaian Sekolah sempena Program Back To School Parlimen Jerlun di Pusat Khidmat Parlimen Jerlun, di sini pada Sabtu.

Mukhriz mengakui ada negara tetap mengadakan pilihan raya dalam keadaan berdepan krisis Covid-19 namun negara itu memiliki SOP tersendiri dan mereka mampu mengawalnya.

"Namun di Malaysia bukan kita hendak kata masyarakat, namun orang politik yang ingin berkempen, turun padang, bersalaman dan bersyarah kepada masyarakat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, pihaknya merasakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menguruskan negara untuk menghadapi pandemik, malah gagal menjamin pertumbuhan ekonomi.

"Bajet 2021 dilihat belanjawan terbesar yang digelar Belanjawan Covid-19, namun setiap hari kita dapati kes positif Covid-19 makin naik, jadi atas sebab itu saya setuju cadangan sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin meletak jawatannya," katanya.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, siapa pengganti dan apa caranya terpulang kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!