Mayat tersangkut di rumpun rotan

No Image Caption
A
A
A

KUALA KRAI - Mayat wanita warga emas ditemui tersangkut di rumpunan rotan di Sungai Rek berdekatan sebuah chalet di Laloh kira-kira jam 10.05 pagi Jumaat selepas dilaporkan hilang sejak seminggu lepas.

Mayat warga Thailand itu, Miss Maeyoh Beeru, 59, dijumpai orang ramai di sungai berkenaan dalam keadaan terapung.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu.

Beliau berkata, mayat berjaya dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung pada 12.20 tengah hari sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk pengecaman dan bedah siasat.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan daripada hasil bedah siasat kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Mangsa dilaporkan hilang 2 Januari lepas setelah dihanyutkan arus deras ketika mengharungi air sungai sedalam satu meter ketika banjir gelombang ketiga baru bermula di Kelantan.

Mangsa yang tinggal di Kampung Kebun Setambun dikatakan pulang dari kedai runcit dan cuba menyeberangi Sungai Rek untuk balik ke rumahnya yang terletak di seberang sungai. - Bernama

Artikel Berkaitan: