Punca banjir di pantai timur lambat surut

Sebuah kenderaan pacuan empat roda kelihatan meredah air banjir untuk ke pekan berikutan sebahagian jalan untuk ke Rantau Panjang telah ditenggelami air pada Khamis. - Foto Bernama
Sebuah kenderaan pacuan empat roda kelihatan meredah air banjir untuk ke pekan berikutan sebahagian jalan untuk ke Rantau Panjang telah ditenggelami air pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Anak sungai dan sistem saliran yang tersumbat dengan sampah sarap antara faktor yang menyebabkan banjir yang melanda negeri di pantai timur Semenanjung lambat surut, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Katanya, sampah dan sisa banjir seperti pokok dan tanah menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna dan memburukkan lagi keadaan.

“Bila banjir berlaku, ada kawasan air banjirnya telah surut dengan cepat dan ada juga kawasan yang masih digenangi air untuk tempoh yang lama, ini berlaku kerana semasa banjir banyak sampah tersangkut di longkang dan anak sungai, mengakibatkan pengaliran air dari tempat banjir ke sungai terbatas.

“Untuk menyelenggara sistem saliran dan anak sungai ini memakan belanja yang besar, oleh itu kami amat memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk tidak membuang sampah merata-rata kerana jika banjir berlaku, air akan lambat surut ekoran sistem saliran tersumbat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sungai Damansara National River Trail Project anjuran Management and Science University (MSU), di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Presiden MSU, Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Mengulas mengenai program berkenaan, Zaini berkata, ia merupakan sebahagian daripada aktiviti bagi menyokong usaha kerajaan mewujudkan 10,000 kilometer laluan denai di tebing sungai bagi kegunaan rekreasi orang ramai menjelang 2030.

Katanya, tujuan mewujudkan laluan denai berkenaan adalah bagi menggalakkan rakyat bersama-sama melakukan aktiviti menjaga alam sekitar terutama sungai yang merupakan sumber kepada bekalan air negara. -Bernama

Artikel Berkaitan: