Kerajaan rangka pelan pascabanjir baik pulih kediaman rakyat terjejas

Mohd Redzuan (dua dari kiri) menyampaikan barangan persekolahan kepada Noor Hafizi Noor Azizul, 10, (tengah) pada Program Kembali ke Sekolah di Gadek, Alor Gajah, Melaka pada Sabtu. FOTO: BERNAMA
Mohd Redzuan (dua dari kiri) menyampaikan barangan persekolahan kepada Noor Hafizi Noor Azizul, 10, (tengah) pada Program Kembali ke Sekolah di Gadek, Alor Gajah, Melaka pada Sabtu. FOTO: BERNAMA
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan sedang merangka pelan tindakan pascabanjir bagi membantu membaik pulih kediaman penduduk yang terjejas teruk dalam bencana itu sekarang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Katanya, menerusi pelan itu, pelbagai agensi kerajaan Pusat dan negeri akan berganding bahu membantu membersih, membaiki serta membina semula kediaman yang terjejas.

"Ada peruntukan tertentu yang dirancang di beberapa kementerian, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya untuk memastikan kita ada jentera untuk memulihkan keadaan itu termasuk juga jika perlu membina atau menggantikan rumah-rumah mangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali ke Sekolah, di sini pada Sabtu.

Keadaan banjir di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak menunjukkan perkembangan positif dengan bilangan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara semakin berkurangan, daripada 47,038 orang pada Jumaat kepada 43,791 setakat pagi Sabtu.

Pada Program Kembali ke Sekolah itu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menyampaikan baucar bernilai RM150 kepada 1,100 murid yang dikenal pasti daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) sebagai persediaan membeli barangan keperluan awal persekolahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: