X

Kindly register in order to view this article
!

Perlu ada empat perkara untuk faham dalil

ADLI
A
A

SHAH ALAM - Untuk memahami sesuatu dalil terdapat empat disiplin atau perkara yang perlu diambil berat oleh ahli sunnah.

Pengarah Perhubungan Islam Pertubuhan Al-Khadeem, Ustaz Adli Mohd Saad berkata, empat perkara itu adalah memahami dalil dengan mengikut fahaman para sahabat, mesti faham bahasa Arab, kumpulkan dalil pada semua tempat dan perlu ada maqasid syariah.

Menurutnya, seseorang itu perlu faham dalil sama seperti para sahabat faham kerana ramai yang didapati gagal dalam aspek ini.

"Ramai yang mengetahui al-Quran dan Sunnah ada tetapi untuk mempraktikkannya (dalil) kena tengok para sahabat.

"Sebab itu ALLAH janji akan beri dengan syarat ikutan, maksudnya nak faham dalil tengok atau ikut para sahabat dengan baik," katanya pada Wacana al-Quran siri ke-60 bertajuk Teori Konspirasi: Fakta atau Auta? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini, pada Jumaat.

Program itu turut menampilkan Naib Yang di-Pertua, Persatuan Ulama Malaysia 2011, Ustaz Fauzi Deraman sebagai panelis, sementara Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan turut ditemani qari, Ustaz Husaini Mahmur yang memperdengarkan bacaan surah al-Kahfi ayat 110.

Dari kiri, Fazrul, Adli, Fauzi dan Husaini pada Wacana al-Quran siri ke-60 bertajuk Teori Konspirasi: Fakta atau Auta? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Jumaat.
Dari kiri, Fazrul, Adli, Fauzi dan Husaini pada Wacana al-Quran siri ke-60 bertajuk Teori Konspirasi: Fakta atau Auta? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Adli berkata, seseorang itu perlu tahu dan faham bahasa Arab untuk mereka memahami dalil kerana al-Quran itu dibaca dalam bahasa Arab.

Katanya, dalil-dalil juga perlu dikumpul dari seluruh tempat, sebagai contoh jika membaca hadis Fitan (ujian) berkenaan imam Mahdi, perlu bawa semua hadis berkaitannya untuk dibincangkan.

"Kita tak boleh hanya baca satu hadis sahaja dan buat kesimpulan. Perlu dibaca semua hadis dan tidak boleh ditinggalkan satu pun.

"Yang terakhir sekali perlu tahu maqasid syariah, maknanya kena faham nas, hadis serta tahu tujuan bagi agama dia datang.

"Umpamanya, kita bukan disuruh ingat dajjal sehingga hilang punca tetapi disuruh ingat serta zikir pada ALLAH. Ini kerana pergantungan kita hanya kepada ALLAH,"katanya.

Tegasnya, empat perkara itu perlu ada dan apabila membincangkan tajuk pemahaman dalil ini juga, yang membezakan antara orang biasa dengan ahli sunnah dan bukan ahli sunnah adalah cara memahami sesuatu perkara itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!