PGA dedah penyeludup ubah taktik elak dicekup

Azhari (depan, tiga dari kanan) bersama pegawai PGA Batalion 7 Kuantan dan anggota keselamatan yang lain sentiasa bekerjasama menjaga sempadan negara.
Azhari (depan, tiga dari kanan) bersama pegawai PGA Batalion 7 Kuantan dan anggota keselamatan yang lain sentiasa bekerjasama menjaga sempadan negara.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) mendedahkan penyeludup mengubah taktik mereka sepanjang musim banjir melanda sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Rantau Panjang ke Tumpat bagi mengelakkan aktiviti mereka dari 'dihidu' anggota penguatkuasa.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi bagaimanapun berkata, pihaknya berjaya mengesan perkara tersebut sehingga 'melumpuhkan' aktiviti itu.

"Taktik yang digunakan itu ialah dengan memunggah barang seludup menggunakan perahu kecil dari pangkalan haram dan disimpan ke stor sebagai transit.

"Selepas itu mereka (penyeludup) akan membawa keluar barang tersebut dari tempat transit untuk diedarkan kepada pembeli," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Terdahulu, Azhari turun padang meninjau situasi semasa banjir di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang.

Azhari (kiri) bersama anggotanya ketika membuat tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang.
Azhari (kiri) bersama anggotanya ketika membuat tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang.

Menurutnya, ketika ini aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand dibawah Op Benteng Covid-19 masih terkawal.

Beliau berkata, PGA Batalion 7 sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti penyeludupan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan," katanya.

Azhari berkata, PGA sentiasa memperhebatkan rondaan menerusi kenderaan berat dan pacuan empat roda bagi memastikan aktiviti penyeludupan berjaya dikekang.

Anggota PGA Batalion 7 Kuantan tetap melakukan rondaan walaupun dalam keadaan banjir.
Anggota PGA Batalion 7 Kuantan tetap melakukan rondaan walaupun dalam keadaan banjir.

"Untuk makluman PGA sentiasa mengubah strategi operasi bagi mengelakkan ia kesan pihak penyeludup.

"Alhamdulillah, hasil maklumat yang diterima, PGA sentiasa dapat memintas dan mematahkan kegiatan itu," katanya.