Rakyat perlukan wakil rakyat, bukan wakil politik

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pemimpin diminta mengetepikan kepentingan politik masing-masing sebaliknya meningkatkan peranan sebagai wakil rakyat di saat rakyat berdepan bencana banjir dan wabak Covid-19.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, keutamaan sekarang harus diberikan kepada soal kebajikan dan keselamatan rakyat, bukan politik kepentingan diri.

“Negara kini berhadapan situasi genting apabila pandemik Covid-19 semakin meliar dengan 131,108 kes dicatatkan dan meragut 537 nyawa sehingga kini. Beberapa negeri juga dilanda banjir besar dan memberi kesan kepada puluhan ribu mangsa di seluruh negara.

“Tumpuan utama pada masa kini mesti diberi khusus kepada kebajikan serta keselamatan rakyat.

“Sebarang agenda lain termasuk kepentingan politik mesti diketepikan terlebih dahulu demi kesejahteraan rakyat yang sedang tertekan dan menderita. Ahli Parlimen mesti berperanan lebih sebagai 'wakil rakyat', bukan 'wakil politik' parti masing-masing,” katanya pada Sabtu.

Raja Kamarul Bahrin turut menyelar tindakan ahli politik yang mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera kerana tidak mengambil pengajaran dan iktibar dari kesilapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga kesal apabila kepentingan rakyat tidak diambil peduli sebaliknya perebutan kuasa menjadi agenda penting dan dilihat adalah segala-galanya.

“Tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari kesilapan buruk PRN Sabah, kini ahli-ahli politik tertentu dengan lantang mendesak PRU seluruh negara pula diadakan segera.

Artikel Berkaitan:

“Wabak kegilaan dan kerakusan kuasa apakah yang sedang melanda Malaysia hari ini?

“Rakyat mual dan muak dengan kerenah ahli politik yang gila kuasa bergayut pada kerusi empuk pemerintahan serta berebut kedudukan untuk kepentingan peribadi, bukan lagi untuk rakyat.

“Mangsanya adalah rakyat yang lemah dan kurang berada. Pencatur lincah mengatur perebutan kuasa adalah golongan yang sudah kaya raya tapi masih tamak bersama mereka yang baru kenal kuasa dan sedang mengumpul harta kekayaan dari ghanimah rebutan kuasa dengan ganjaran lumayan,” katanya.