X

Kindly register in order to view this article
!

Enam sekeluarga ditahan edar dadah

Enam sekeluarga antara yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Enam sekeluarga ditahan selepas terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dalam satu serbuan di Kampung Sembulan pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, enam individu berusia antara 20 hingga 66 tahun ditahan bersama enam peket dadah jenis syabu seberat 67.80 gram.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

"Tangkapan membabitkan pasangan suami isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan bersama suami.

"Ketika serbuan dibuat turut ditemui syabu yang disembunyikan di bawah pecahan jubin rumah terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Habibi berkata, semakan kesalahan lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Syabu yang dirampas dalam dua serbuan di Kampung Sembulan.
Syabu yang dirampas dalam dua serbuan di Kampung Sembulan.

"Selain itu, hasil saringan ujian air kencing terhadap dua suspek juga didapati positif dadah manakala yang selebihnya negatif," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada hari yang sama, Habibi berkata seorang lelaki berusia 37 tahun turut ditahan di sebuah perumahan flat pada jam 7.35 malam dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

"Sebuah kenderaan turut dirampas yang disyaki digunakan untuk tujuan pengedaran dan hasil pemeriksaan menemui tiga paket syabu seberat 150.36 gram yang disembunyikan di bawah lapisan karpet bonet belakang kenderaan terbabit," katanya.

Habibi berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam kedua-dua serbuan adalah sebanyak 218.16 gram dan dianggarkan bernilai RM21,816 mengikut harga pasaran semasa.

"Semua suspek yang ditahan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran serta menjual dadah di sekitar Kota Kinabalu.

"Bekalan dadah yang diperoleh akan dibungkus dalam kuantiti lebih kecil untuk dijual kepada penagih bagi mendapat keuntungan berlipat kali ganda," katanya.

Sehubungan itu, Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!