Kerajaan peruntuk lebih RM1 bilion untuk program tangani Covid-19

Adham (tengah) menyaksikan proses menandatangani dokumen penyerahan dalam Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Pusat Pengumpulan Darah di HSA, Johor Bahru pada Sabtu.
Adham (tengah) menyaksikan proses menandatangani dokumen penyerahan dalam Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Pusat Pengumpulan Darah di HSA, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan meluluskan lebih RM1 bilion bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan program-program menangani pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, peruntukan tersebut melibatkan pembelian ubat-ubatan, peralatan dan pelbagai keperluan lain.

"Perdana Menteri pada 23 Mac lalu telah meluluskan pelantikan seramai 2,000 kakitangan baharu secara kontrak untuk KKM yang melibatkan peruntukan RM100 juta bertujuan memperkasa frontliners dalam mendepani ancaman wabak ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Dr Chen Chaw Min, Pengarah Kerja Kesihatan Jabatan Kerja Raya (JKR), Dr Azman Md Hashim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan kesihatan negara merangkumi perbelanjaan kesihatan bagi sektor awam dan sektor swasta menunjukkan peningkatan dalam masa lima tahun ini.

Katanya, sebagai contoh pada 2018 kerajaan membelanjakan RM60.1 juta bagi perkhidmatan kesihatan berbanding RM56.1 juta pada 2017.

Beliau berkata, daripada segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula adalah sekitar 4.09 hingga 4.27 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan data yang disediakan Malaysia National Health Accounts (MNHA) tersebut, menunjukkan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan terbaik di dunia," katanya.

Adham berkata, dalam usaha meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada semua lapisan masyarakat, KKM merancang untuk mencapai nisbah katil hospital kepada jumlah penduduk iaitu dua katil bagi 1,000 penduduk menjelang tahun 2025.

Sementara itu, Azman berkata, terdapat 10 projek fasaliti kesihatan yang sedang dalam pembinaan di negeri ini iaitu lima di daerah ini, dua di Segamat dan masing-masing satu projek di Kluang, Kota Tinggi dan Muar.

Katanya, tiga projek lagi di peringkat perolehan iaitu Perkhidmatan Perubatan Nuklear dan Pet Hospital Sultan Ismail (HSI) di daerah ini, pembinaan Klinik Kesihatan Taman Cendana (Pasir Gudang) dan Klinik Kesihatan Bandar Kota Tinggi (Kota Tinggi).