X

Kindly register in order to view this article
!

Raja Muda Perak berkenan lawat mangsa banjir

Raja Jaafar (dua dari kiri) meninjau kawasan banjir di Lorong Mesra, Teluk Intan pada Sabtu.
A
A

TELUK INTAN - Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan melawat mangsa banjir dan kawasan yang terjejas akibat bencana itu di daerah Hilir Perak di sini pada Sabtu.

Bermula kira-kira jam 10 pagi, baginda melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang menempatkan lebih 100 mangsa banjir dari Kampung Batu 9, Kampung Simpang 3 dan Batu 10 Jalan Bidor.

Selepas itu, baginda meninjau laluan A149 Jalan Chikus menghubungkan Kampung Attaduri dan Chikus yang rebak akibat limpahan air sungai Batang Padang sejak 5 Januari lalu.

Selain itu, Raja Jaafar turut singgah di Pejabat Penghulu Mukim Sungai Manik untuk melihat kerja-kerja sukarelawan pasca banjir di sekitar Pekan Chikus.

Dalam tempoh lebih 2 jam lawatan itu juga, baginda turut singgah melihat keadaan rumah penduduk yang dinaiki air di Lorong Mesra, di sini.

Raja Jaafar (dua dari kiri) meninjau laluan A149 Jalan Chikus menghubungkan Kampung Attaduri dan Chikus yang rebak akibat limpahan air sungai Batang Padang sejak 5 Januari lalu.
Raja Jaafar (dua dari kiri) meninjau laluan A149 Jalan Chikus menghubungkan Kampung Attaduri dan Chikus yang rebak akibat limpahan air sungai Batang Padang sejak 5 Januari lalu.

Hadir sama mengiringi baginda, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan beberapa ketua jabatan.

Sementara itu, Zainol Fadzi yang ditemui pemberita selepas lawatan tersebut berkata, kehadiran baginda sangat dinantikan rakyat.

"Kami menjunjung kasih di atas kunjungan dan keprihatinan tuanku terhadap rakyat jelata. Walaupun PPS di DUN Sungai Manik ditutup tetapi kesan banjir yang berlaku masih dihadapi penduduk.

"Kita juga sudah memberikan taklimat kepada baginda tentang apa yang berlaku sehingga hari ini. Kita masih dikunjungi oleh pelbagai agensi dan jabatan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Dalam pada itu, Zainol Fadzi berkata, kejadian banjir yang berlaku itu di luar jangkaan sehingga menyebabkan Pekan Chikus tenggelam dan lumpuh akibat banjir selain penduduk juga tidak sempat menyelamatkan barang-barang serta peralatan rumah kerana air naik terlalu pantas.

Zainol Fadzi (kiri) memberikan taklimat kepada Raja Jaafar mengenai situasi banjir yang berlaku di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik.
Zainol Fadzi (kiri) memberikan taklimat kepada Raja Jaafar mengenai situasi banjir yang berlaku di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik.

Katanya, beberapa kemudahan kerajaan seperti klinik kesihatan, perpustakaan, pejabat penghulu, dewan orang ramai turut terjejas.

ADUN Sungai Manik itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang telah bersetuju membaik pulih laluan yang rebak itu dengan menyediakan peruntukan RM2.2 juta bagi tujuan itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!