Pulau Pinang masih menunggu penyelesaian dua fasa tertunggak

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pulau Pinang masih menunggu perlaksanaan dua fasa terakhir Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) seperti dijanjikan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, walaupun secara rasminya Empangan Mengkuang telah diserahkan kepada kerajaan negeri namun terdapat beberapa fasa lagi perlu disiapkan selaras dengan Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Nasional yang diperkenalkan oleh Persekutuan.

Menurutnya, penyelesaian secara holistik perlu dibuat supaya empangan ini dapat mengurangkan risiko kekurangan air pada musim kering yang berpanjangan selain menjadi sumber air mentah dan terawat untuk penduduk di negeri ini.

"Kini Pulau Pinang mempunyai empangan simpanan strategik kemarau yang lebih besar bagi menangani keperluan bekalan airnya yang semakin meningkat dalam abad ke-21.

"Walaupun empangan ini telah diserahkan kepada kita namun kisah penuh MDEP masih belum tamat dan kita masih menunggu perlaksanaan Fasa 2B dan 2C dilakukan seperti yang dijanjikan kerajaan Persekutuan sebelum ini," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Empangan Mengkuang kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini pada Sabtu.

Hadir menerima penyerahan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, projek pembesaran empangan berkenaan merangkumi empat fasa utama yang dibiayai geran Persekutuan bernilai RM1.2 bilion.

Katanya, setakat ini fasa 1 dan 2A yang merujuk kepada pembesaran empangan dan menaiktaraf Rumah Pam Mak Sulong serta kerja-kerja berkaitan telah siap.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, fasa 2B yang bakal menyaksikan pemasangan saluran paip air mentah tujuh kilometer (km) dari rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua masih dalam peringkat pengambilan tanah.

"Bagi fasa 2C pula ia merujuk kepada pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi. Bagi fasa ini ia telah dimasukkan dalam kajian kebolehlaksanaan untuk membina baraj baharu di Rantau Panjang dan kajian ini tertakluk kepada pertimbangan kerajaan Persekutuan,"katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, mengikut jadual, MDEP sepatutnya siap pada 2016 namun empangan yang diperbesarkan itu hanya diserahkan kepada kerajaan Pulau Pinang pada 26 Oktober tahun lalu.

Katanya, dengan pembesaran yang dibuat menjadikan Empangan Mengkuang sebagai empangan terbesar di Pulau Pinang dengan luas permukaan maksimum 3.4km persegi berbanding sebelum ini hanya 1.74km persegi pada tahun 1985.

"Apa yang lebih penting kapasiti efektif empangan telah meningkat sebanyak 293 peratus dari 22.0 bilion liter kepada 86.4 bilion liter air.

"Kita memerlukannya hari ini kerana boleh mengurangkan risiko kekurangan air ketika musim kemarau yang berpanjangan dan perubahan iklim tidak menentu," katanya.