KKM cadang pergerakan rentas negeri, daerah dihadkan

Adham (kanan) menyerahkan replika kunci sebagai simbolik penyerahan pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Pusat Pengumpulan Darah di HSA, Johor Bahru pada Sabtu.
Adham (kanan) menyerahkan replika kunci sebagai simbolik penyerahan pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Pusat Pengumpulan Darah di HSA, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mengehadkan kawalan pergerakan rentas negeri dan daerah untuk melandaikan semula lekuk penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini kerana kes jangkitan sporadik akibat aktiviti rentas negeri dan daerah dikesan menjadi menyumbang kepada peningkatan kes secara mendadak.

"Berdasarkan data kumulatif terkini, kes sporadik iaitu jangkitan dalam kalangan komuniti mencatatkan angka 50 peratus di samping kes-kes positif melibatkan bukan warganegara. Penyumbang kepada kes-kes yang mendadak ketika ini 50 peratus disumbangkan warganegara dan 50 peratus lagi warga asing.

"Kementerian bukan sekadar melihat trend dalam negara tetapi juga kepada senario luar negara yang mendapati jangkitan Covid-19 menular secara pantas termasuk di England dan Amerika Syarikat serta beberapa negara lain.

"Justeru, kita berikan cadangan ini kerana kes-kes jangkitan kebelakangan ini terjadi kerana aktiviti itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Dr Chen Chaw Min; Pengarah Kerja Kesihatan Jabatan Kerja Raya (JKR), Dr Azman Md Hashim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Dr Adham berkata, KKM juga menasihatkan MKN supaya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada serta penguatkuasaan yang lebih tersusun dan rapi agar dapat mengawal jangkitan kes baharu Covid-19.

Berkenaan jangkitan sporadik, beliau berkata, KKM mendapati terdapat unsur-unsur ketidakpatuhan SOP semasa pembukaan semula sektor ekonomi di seluruh negara yang menyumbang kepada peningkatan kes.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat juga kes jangkitan dalam kalangan komuniti berlaku ketika orang ramai menyertai majlis sosial seperti perhimpunan atau berkumpul dalam jumlah yang ramai.

"Malah, kes-kes tersebut juga meningkat di kawasan padat penduduk dengan pergerakan yang mudah termasuk di Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang dan Sabah," katanya.

Sementara itu, Dr Adham yakin fasiliti kesihatan masih mampu menampung peningkatan kes, namun kaedah ketat dalam melandaikan lengkuk Covid-19 perlu dilaksanakan segera sebelum keupayaan berkenaan tidak lagi mampu disediakan.

"Petugas perubatan yang kendalikan kes Covid-19 bergejala kini sedang bertungkus-lumus menghadapi peningkatan mendadak kes di samping melihat juga pasukan jururawat dan pembantu perubatan yang perlu merawat pesakit termasuk bukan Covid-19,” katanya.