Covid-19: Salah maklumat punca masyarakat keliru tentang vaksin

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Pertikaian berterusan pihak tidak bertanggungjawab mengenai perolehan vaksin Covid-19 oleh kerajaan akan menimbulkan ‘vaccine hesitancy’ atau keraguan melampau masyarakat terhadap vaksin.

Pendapat itu disuarakan oleh 20 pakar perubatan, persatuan perubatan, bekas pengarah kesihatan, aktivis sosial dan kanak-kanak dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut mereka, syak wasangka yang berterusan mampu mengalihkan perbincangan nasional daripada isu penting iaitu mengenai perancangan dan implementasi kempen vaksin pada masa akan datang.

“Golongan yang mempersoalkan keselamatan vaksin Covid-19 mendakwa mereka bukan ahli anti vaksin.

"Bagaimanapun, kenyataan dan suara mereka membimbangkan kerana mirip kepada golongan yang menentang penggunaan vaksin campak, beguk dan rubella (MMR),” katanya.

Katanya, kebimbangan mengenai perolehan dan program imunisasi perlu dikemukakan serta ditangani secara telus dan bertanggungjawab oleh pihak eksekutif kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.

“Kenyataan yang menakut-nakutkan dan berbau ‘pseudosains’ serta serangan terhadap teknologi ‘messenger RNA’ (mRNA) yang diguna pakai oleh salah satu daripada vaksin tersebut mampu memberikan kesan negatif kepada masyarakat mengenai vaksin Covid-19 secara amnya.

“Walaupun pembuatan vaksin Covid-19 berlaku dalam masa begitu singkat, namun penggunaan teknologi mRNA sudah berlangsung sejak awal 2000.

Artikel Berkaitan:

“Salah satu daripada vaksin jenis ini telah pun diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), Agensi Kawalan Produk Ubat-ubatan dan Penjagaan Kesihatan United Kingdom (MHRA), Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan badan kawal selia daripada sekurang-kurangnya tujuh negara,” katanya.

Tegasnya, Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan memerlukan pendekatan seluruh rakyat untuk bersama-sama serius menangani cabaran tersebut apabila vaksin tiba di negara ini.

“Melawan salah faham maklumat dan kecurigaan yang berterusan mampu mengganggu usaha dan tugas yang akan datang,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penggunaan vaksin merupakan salah satu penyelesaian kepada pandemik Covid-19 yang sudah melumpuhkan ekonomi global dan meragut lebih 1.8 juta orang di seluruh dunia.

“Penyelidikan ke atas vaksin Covid-19 dilakukan dengan perhatian dan penelitian yang sama seperti vaksin lain. Vaksin yang selamat tidak bermakna ianya bebas sepenuhnya daripada kemudaratan dan kesan sampingan.

“Bagaimanapun, vaksin memberikan faedah yang lebih besar kepada individu dan masyarakat daripada risiko akibat kesan sampingan,” tegasnya.

Ujar mereka, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) perlu menggunakan pendekatan tegas dan terperinci dalam penilaian semua vaksin dan ubat-ubatan yang diguna pakai di Malaysia.

"Banyak faktor memberi kesan kepada keberkesanan vaksin dalam masyarakat.

“Yang paling ketara adalah beban logistik yang terlibat dalam usaha memberikan vaksin tersebut kepada seluruh populasi dewasa.

"Kami berharap vaksin ini menjadi titik permulaan kepada penghujung mimpi ngeri Covid-19 namun pemantauan dan pengumpulan data yang berterusan perlu dilakukan ketika vaksinasi dilakukan di negara kita dan negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, mereka turut mengingatkan penerimaan vaksin bukanlah lesen untuk mengabaikan segala prosedur operasi standard (SOP) yang merupakan sebahagian daripada langkah kawalan Covid-19 bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

Selain bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, kenyataan bersama itu turut ditandatangani Profesor Perubatan Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Dekan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr April Camilla Roslani; Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta, Dr Steven Chow; bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee serta aktivis sosial, Datin Marina Mahathir serta pengamal media sosial dan aktivis kanak-kanak, Daphne Iking.