Tidak wajar adakan PRU15 ketika ini: KKM

Dr Adham (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Pusat Pengumpulan Darah di HSA, Johor Bahru pada Sabtu.
Dr Adham (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Pusat Pengumpulan Darah di HSA, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan dalam waktu terdekat kerana negara masih berdepan pandemik Covid-19 dan banjir.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, keutamaan ketika ini adalah memberi tumpuan menguruskan pandemik tersebut yang masih belum selesai dan banjir yang terus melanda di beberapa negeri.

"Jadi adalah tidak wajar dan tidak sesuai mengadakan PRU15 pada ketika ini. Isu yang dibangkitkan ini (adakan PRU15) bukan keutamaan dan (jika perlu) adakan survey daripada rakyat dan pihak media juga boleh melihat perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Dr Chen Chaw Min; Pengarah Kerja Kesihatan Jabatan Kerja Raya (JKR), Dr Azman Md Hashim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada Rabu, antaranya menggesa PRU15 diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Pelbagai pihak membantah gesaan tersebut antaranya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang berpendapat, PRU15 akan mencetuskan gelombang keempat Covid-19 dan dibimbangi situasi akan menjadi tidak terkawal.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, sekiranya fokus utama tidak diberikan terhadap banjir dan Covid-19 dibimbangi akan mencetuskan kluster baharu iaitu Kluster Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu elak Covid-19 daripada menular di PPS dan untuk itu kita perlu tempatkan ramai petugas dan 'frontliners' supaya dapat pastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi di semua PPS. Kita tidak mahu wujud Kluster PPS," katanya.

KKM katanya, sentiasa siap sedia dalam isu banjir dan pasukan perubatan akan turun padang dan meletakkan pegawainya untuk melakukan saringan kesihatan.

Terdahulu ketika berucap, beliau turut memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion untuk membina bangunan baharu dan menaik taraf kemudahan kesihatan sedia ada untuk tahun ini.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM26.7 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf bangunan, sistem kejuruteraan dan infrastruktur klinik-klinik di seluruh negara.

"Selain itu, RM30 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan kuaters. Bagi Pusat Kutipan Darah HSA, sebanyak RM1.72 juta diluluskan dan projek ini berjaya disiapkan dengan kos sebenar RM979,480 iaitu bersamaan penjimatan RM740,519 atau 43 peratus," katanya.