Itu tuduhan dangkal, berniat jahat: Aminuddin

Tuduhan terhadap Aminuddin di Facebook.
Tuduhan terhadap Aminuddin di Facebook.
A
A
A

KUALA PILAH – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun akan mempertimbangkan sama ada akan membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang memfitnah isi ucapannya pada Kursus Profesionalisme Keguruan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Negeri Sembilan, di Pusat Dakwah Islamiah Rabu lalu.

Beliau berkata, sebagai pemimpin tidak salah untuknya memberi teguran demi kebaikan umat Islam kerana menjaga solat itu adalah penting.

“Janganlah terlampau buat tuduhan fitnah terhadap saya. Saya rasa ada pihak yang digunakan untuk buat begitu.

“Sebagai umat Islam, solat itu paling penting dalam kehidupan kita. Kalau hubungan dengan Dia tak jaga, bagaimana pula hubungan dengan manusia,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Dewan Dato’ Bahaman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataannya yang tular di Facebook bahawa beliau memeriksa semua surau dan masjid di NS kosong tanpa jemaah. Dengan itu, tapak masjid perlu diserahkan kepada DAP untuk dimanfaatkan.

Dakwaan itu turut disertakan dengan keratan laporan sebuah akhbar berkenaan kenyataan beliau bahawa 50 peratus umat Islam di Negeri Sembilan tidak solat lima waktu.

Mengulas lanjut Aminuddin turut menyifatkan individu yang membuat tuduhan tidak masuk akal sebegitu adalah dangkal, tidak berilmu dan berniat jahat.

“Bila saya tegur, ada pula cakap saya datang masjid solat subuh jam 7.30 pagi. Solat subuh 6.07 pagi, saya rasa orang yang tular itu pun tak tahu dia solat ke tidak, sebab 7.30 pagi waktu dah habis.

Artikel Berkaitan:

“Boleh periksa pada mana-mana ucapan saya, tak pernah saya cakap begitu,” katanya.

Kata Aminuddin, beliau tidak kisah untuk ditegur secara baik jika ada melakukan kesilapan, tetapi tidak boleh menerima budaya fitnah sebegitu.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik Menteri Besar, Mokhtar Ahmad telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Pilah jam 1 tengah hari tadi.

Mokhtar berkata, pihaknya berharap polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) dapat menyiasat segera perkara itu dan ambil tindakan sepatutnya.

"Laporan ini juga sebagai amaran kepada pihak menabur fitnah supaya berhati-hati terutama keluar kenyataan di laman sosial," katanya.