MBI jamin selesai aduan jalan berlubang tempoh 24 jam

Rumaizi (kiri) menyempurnakan penanaman pokok jenis Caesalpinia Ferrea atau Brazilian Ironwood sempena program Komuniti Gaya Hidup Sihat dan Penanaman Pokok di Padang Taman Rishah Indah, Ipoh pada Sabtu.
Rumaizi (kiri) menyempurnakan penanaman pokok jenis Caesalpinia Ferrea atau Brazilian Ironwood sempena program Komuniti Gaya Hidup Sihat dan Penanaman Pokok di Padang Taman Rishah Indah, Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah jalan berlubang dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan dibuat penduduk.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, komitmen itu diperkukuh menerusi peruntukan tambahan berjumlah RM200,000 yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi pelaksanaan kerja-kerja penampalan.

"Apabila tiba musim hujan, kita akui memang akan berlaku banyak kerosakan dan jalan-jalan yang berlubang.

"Atas faktor itu kita buat keputusan, walaupun sudah ada syarikat konsensi yang dipertanggungjawabkan dan peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris), MBI sendiri mengeluarkan kos tambahan bagi menyelesaikan aduan-aduan diterima.

"Pemantauan telah digerakkan dan saya sendiri telah mengarahkan kepada bahagian-bahagian terlibat, jika dapat laporan maka ia perlu diselesaikan dalam tempoh 24 jam," katanya pada sidang media sempena program Komuniti Gaya Hidup Sihat dan Penanaman Pokok di Padang Taman Rishah Indah, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, peruntukan tambahan disediakan itu akan ditambah berdasarkan keperluan bergantung situasi semasa.

"Proses (kerja baiki jalan berlubang) ini sentiasa berterusan, hari ini kita tutup, esok jadi di tempat lain pula.

"Jadi untuk sementara ini kita sediakan RM200,000, jika terdapat banyak lagi aduan, maka akan ditambah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, MBI menyasarkan penanaman 5,000 pokok di seluruh kawasan pentadbirannya dalam usaha membantu kerajaan dalam kempen penanaman 100 juta pokok.

Katanya, usaha lain turut digerakkan bagi mengekalkan kawasan hijau di bandar raya itu termasuklah penambahan tanaman pokok di kawasan rizab hutan dan pengenalan kawasan perhutanan bandar.

"Walaupun negara kita dibelenggu dengan isu pandemik Covid-19, MBI akan terus menggiatkan usaha untuk mencapai hasrat kerajaan dalam kempen penanaman pokok ini," katanya.