Kelebihan al-Kahfi dalam pemantapan akidah manusia

Fauzi
Fauzi
A
A
A

SHAH ALAM - Surah al-Kahfi mempunyai banyak kelebihan atau keistimewaan terutamanya berkaitan pemantapan akidah manusia.

Naib Yang Dipertua I Persatuan Ulama Malaysia 2011, Fauzi Deraman berkata, secara keseluruhannya perkara asas yang disebutkan dalam surah terbabit banyak menyebut tentang bagaimana untuk menjernihkan akidah iaitu dari hati dan bukannya di mulut.

Beliau berkata, sebagai contoh terdapat cerita anak-anak muda yang berhati cekal sanggup lari dari kawasan asal dan bersembunyi di gua (al-Kahfi) yang menjadi perlindungan untuk menyelamatkan akidah serta memelihara iman mereka.

Malah katanya, surah tersebut juga menekankan tentang soal beriman kepada Rasul pada ayat 26, beriman dengan kitab pada ayat 28 termasuk beriman dengan hari akhirat.

"Ini merupakan semua perkara akidah yang diulas dalam surah berkenaan termasuk berkaitan qada dan qadar yang ALLAH sebut pada ayat 30.

"Selain itu, surah al-Kahfi juga mempunyai banyak kisah-kisah di mana 71 daripada 110 ayatnya menceritakan antaranya berkaitan kisah anak muda yang bersembunyi di gua (ayat 9-26), cerita tentang orang yang mengaku kaya (ayat 35-36), kisah Musa dan Khidir berkaitan fitnah ilmu (ayat 61-82) serta kisah Raja Zulkarnain sehingga kepada kisah Yakjuj dan Makjuj," katanya pada Wacana al-Quran siri ke-60 bertajuk Teori Konspirasi: Fakta atau Auta? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Program itu turut menampilkan Pengarah Perhubungan Islam Pertubuhan Al-Khadeem, Adli Mohd Saad sebagai panelis, sementara Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan turut ditemani qari, Husaini Mahmur yang memperdengarkan bacaan surah al-Kahfi ayat 110.

Dalam pada itu, Fauzi berkata, menerusi surah al-Kahfi juga turut diselitkan banyak perkara yang melibatkan perbandingan seperti kisah orang kaya sombong dengan orang miskin yang bersederhana dan mengetahui kesenangan serta kekayaan datang daripada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, disebutkan juga pada ayat 44 berkaitan takbur serta ikonnya iaitu iblis serta sikap bangga diri, selain ALLAH turut menjelaskan senario yang akan dihadapi pada hari kiamat.

"Turut disebutkan berkaitan fitnah paling besar adalah syaitan dan terdapat lima fitnah yang dirangkum dalam surah ini seperti fitnah agama dan juga fitnah ilmu.

"Penyelesaian kepada perkara ini (fitnah ilmu) dinyatakan iaitu tidak boleh sombong dan perlu merendah diri, selain ilmu syariah adalah pemelihara daripada fitnah dengan merujuk dua sumber iaitu al-Quran dan sunnahnya," katanya.

Tambahnya, menerusi surah al-Kahfi juga dapat dilihat soal penyelesaian termasuk ujian dalam bentuk kuasa dan ia dibuktikan melalui kisah Raja Zulkarnain yang merupakan seorang pemerintah yang adil, memiliki kuasa yang hebat tetapi tidak tergoda dengan kuasa dimilikinya.

Fauzi berkata, antara lain kelebihan surah al-Kahfi antaranya di mana hadis sahih menganjurkan supaya ia dibaca pada malam Jumaat sehingga hari Jumaat kerana ALLAH menjanjikan sesiapa yang membaca akan dipancarkan cahaya kepadanya.

"Maksud cahaya di sini, seseorang itu akan diberikan keselamatan dan bimbingan daripada ALLAH serta mereka yang menghafal surah itu juga akan diselamatkan daripada dajal," katanya.