Covid-19: Warga Malaysia antara tiga kes import gejala di Singapura

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Seorang lelaki warga Malaysia berusia 50 tahun adalah antara tiga kes import gejala yang dilaporkan di Singapura pada Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Dilabelkan sebagai kes 59,085, beliau adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Malaysia, menurut MOH dalam data penuh yang dikeluarkan di sini pada Sabtu.

Dua lagi kes import gejala, kedua-duanya dari India.

Setakat tengah hari Jumaat, negara kota itu melaporkan 23 kes baharu, dua dalam komuniti dan 21 import, menjadikan keseluruhan kes di negara itu kini 58,836.

Daripada keseluruhan jumlah kes baharu itu, 18 adalah asimptomatik dan dikesan daripada saringan dan pengawasan proaktif kementerian, manakala lima lagi bergejala termasuk dua kes komuniti itu.

Pada Jumaat, Singapura melaporkan kes lain di Azur, Crowne Plaza Changi Airport, melibatkan seorang lelaki warga Singapura berusia 20 tahun, yang diuji positif bagi strain B117.

Setakat ini, dua lagi kes dilaporkan bekerja di tempat sama termasuk seorang wanita warga Malaysia berusia 43 tahun.

Singapura kini mempunyai tiga kluster dengan satu dikaitkan dengan NewOcean 6, sebuah kapal tangki bunker yang dikendalikan Palmstone Tankers & Pte Ltd di Pelabuhan Singapura. - Bernama

Artikel Berkaitan: