Pas perlu dedah perkara sebenar tarik balik saman

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Pas diminta mendedahkan perkara sebenar di sebalik keputusan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, beliau menyifatkan keputusan Abdul Hadi itu amat pelik memandangkan laporan media pada 1 Mei 2018 yang memetik peguam Pas, Wan Rohomi Wan Daud berkata Abdul Hadi telah memenangi lima permohonan interlokutori dalam kes saman fitnah terhadap Rewcastle Brown.

"Sebelum PRU14, gempak-gempita dihebahkan bahawa Pas dan Presidennya (Abdul Hadi) berjaya menebus maruah setelah menang saman fitnah ke atas Claire Rocastle Brown atas dakwaan menerima dana RM90 juta sebagai usaha untuk menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

"Namun, tiba-tiba sahaja Pas dan Presidennya dilapor telah mahu selesaikan kes itu di luar mahkamah. Kalau artikel Sarawak Report itu fitnah, mengapa dalam terma penyelesaian, artikel itu masih dibenarkan..kenapa tak mintak padam dan bukankah artikel itu punca Pas dan Presidennya memfailkan saman di London?.

"Mengapa Pas tidak teruskan tuntutan di mahkamah termasuk memanggil saksi untuk mengukuhkan hujah mereka?. Mengapa pula Pas dan Presidennya memilih untuk selesaikan di luar mahkamah," soalnya.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan Bersatu mahu Pas dan Abdul Hadi supaya mendedahkan perbelanjaan wang derma yang dikutip daripada para penyokong parti sebelum ini bagi menampung kos guaman di London dalam tuntutan terhadap Sarawak Report.

"Jika sebelum ini Pas merayu bantuan kewangan, tetapi hari ini Pas dan Presidennya seolah-olah 'cakap tak serupa bikin'. Apakah para penyokong Pas telah tertipu yang derma mereka itu tidak digunakan dalam tuntutan terhadap Sarawak Report," soalnya.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar mahu Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz supaya menjelaskan dakwaan rakaman audio yang mengaitkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat bahawa parti itu menerima wang daripada Umno.

Artikel Berkaitan:

"Kalau Nik Abduh merasakan rakaman suara itu sebagai fitnah dan tak pernah berlaku, kenapa beliau tidak angkat sumpah di mahkamah dan beri keterangan?. Beliau perlu tampil untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Alasan penyelesaian luar mahkamah itu dibuat kerana mahu mengelak pembaziran, saya rasa ia tidak masuk akal. Pas sentiasa bercakap soal maruah parti dan Presiden mereka, tetapi mereka tidak sanggup menanggung kos untuk mempertahankan parti dan pemimpin mereka sendiri," ujarnya.