Sukan boling tetap di hati Shalin

A
A
A

RATU tenpin boling negara, Shalin Zulkifli akan terus aktif dalam sukan tersebut walaupun sudah mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan.

Menurutnya, dia akan tetap terus aktif selaku pemain tenpin boling profesional dan sedang merangka persiapan bagi menyertai kejohanan sirkit profesional yang akan berlangsung di Amerika Syarikat mulai April hingga Ogos depan.

Menurut Shalin, dia sememangnya melakukan persiapan rapi bagi menyertai kejohanan berkenaan dalam usaha melengkapkan koleksi kejuaraan yang dimilikinya setakat ini.

"Kejohanan ini ada dalam senarai saya sebab saya telah menang pada Sukan SEA, Sukan Asia tetapi sirkit profesional ini saya tak capai lagi.

"Sebab itulah, saya 'go all out' untuk mencapainya, insya-ALLAH tahun ini sebab saya tak tahu berapa lama lagi saya mampu beraksi (dalam sukan tenpin boling)," katanya pada Jumaat dalam sidang media khas di lobi Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada sidang media berkenaan, Shalin turut mengumumkan secara rasmi persaraannya selepas menyerahkan surat kepada ketua jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah pada Selasa lalu.

Shalin mencipta kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat sepanjang pembabitannya selama 28 tahun di peringkat antarabangsa dan turut pernah meraih pingat emas Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali iaitu pada 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Shalin mula bermain boling ketika berusia sembilan tahun dan pada 1991 beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Muda Harapan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Tiga tahun kemudian, beliau memenangi Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Stars 1994 dengan menjadi pemain termuda serta pemain Malaysia pertama melakukannya dan sejak itu beliau tidak berpaling ke belakang dalam sukan yang diminatinya dengan merangkul pelbagai gelaran sama ada di peringkat kebangsaan, Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel mahu pun dunia.

Beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.

Dalam masa sama, atlet berusia 43 tahun itu turut menafikan keputusan untuk bersara itu disebabkan oleh masalah dalaman bersama Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).

"Keputusan ini memang amat sukar untuk dibuat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya sepanjang saya beraksi untuk pasukan negara," katanya.