X

Kindly register in order to view this article
!

Suspek bunuh sempat kemas rumah, lap darah

Lokasi mayat mangsa ditemui mati di Taman Pasir Saujana, Ipoh.
A
A

IPOH - Suspek kes bunuh seorang tukang masak yang mayatnya ditemui di sebuah rumah di Taman Pasir Saujana di sini pada Khamis lepas sempat mengemas rumah dan membersihkan tompokan darah bagi mengelak dikesan polis.

Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, Wong Keng Yee, 50, ditemui dalam keadaan tertiarap di sebuah bilik rumah terbabit dan dipercayai telah meninggal dunia kurang daripada tempoh 36 jam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah, namun hasil bedah siasat diperoleh petang Jumaat menunjukkan ada kesan hentakan dan kecederaan pada bahagian perut serta belakang badan yang menjadi punca kematian mangsa.

"Pasukan forensik telah datang kembali ke lokasi kejadian dan menerusi kaedah tertentu kita telah menjumpai beberapa tompokan darah di dua bilik di bahagian atas rumah.

"Bagaimanapun tompokan dalam keadaan telah dibersihkan dan kita dapati rumah juga ditinggalkan tersusun kemas," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian lewat malam pada Jumaat.

Pasukan forensik melakukan sisatan lanjut di lokasi kejadian mangsa ditemui mati di Taman Pasir Saujana, Ipoh.
Pasukan forensik melakukan sisatan lanjut di lokasi kejadian mangsa ditemui mati di Taman Pasir Saujana, Ipoh.

Menurutnya, suspek didapati bertindak meletakkan kain di bawah ruang pintu bilik mangsa dipercayai bagi mengelak bau busuk mayat.

“Mayat mangsa ditemui anak saudara perempuannya yang berusia 32 tahun ketika datang untuk membersihkan rumah mangsa pada Khamis lalu sebelum melaporkannya kepada polis.

"Mengikut maklumat jiran, mangsa yang bekerja di sebuah restoran di bandar raya ini telah dua hari tidak keluar rumah," katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek yang melakukan perbuatan tersebut menerusi rekod panggilan telefon dan maklumat ahli keluarga.

Katanya, motif kejadian masih belum dapat dipastikan memandangkan tiada sebarang kehilangan barang berharga dalam kejadian itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh tampil membantu siasatan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!